‘Sekarang Mahu Jadi Hero, Di Mana Kamu Ketika Berkuasa’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada 9 November 2025. Foto Mohamad Fauzi Mat Isa
KOTA KINABALU, 9 Nov – Tindakan segelintir pihak cuba menjadi ‘hero rakyat’ setiap kali sesuatu pilihan raya diadakan, sebenarnya tidak mencerminkan keikhlasan jitu malah turut berselindung di sebalik niat sebenar yang hanya mahu mengaut kekayaan yang menjadi hak mutlak rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap segelintir bekas pemimpin yang dilihat bersikap sedemikian seolah-olah mereka sahajalah yang dianggap pejuang rakyat tetapi ‘menghilang’ tanpa memberi sebarang bentuk penyelesaian terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah.

Perdana Menteri berkata, ketika mereka berkuasa dahulu, golongan pemimpin itu gagal melaksanakan tanggungjawab, tetapi kini lantang bersuara dengan menuding jari mencari kesalahan pihak lain.
“Kita kena nilai dengan cerdik dan pintar, kalau tidak kita jadi mangsa. Tambahan ini musim PRN Sabah, bertempur…semua jadi hero-hero belaka.
“Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa?

“Mengapa hal-hal yang kamu sebut itu tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya ketika berucap dalam Program Rancakkan MADANI Sabah di sini pada Ahad.
Perdana Menteri menegaskan, perjuangan sebenar bukan menimbulkan sentimen kaum atau agama, sebaliknya menjaga nilai dan akhlak dalam kepimpinan.
Katanya, kekayaan negara tidak boleh berlegar dalam kalangan segelintir elit hingga mengabaikan rakyat biasa.
“Sekarang ada yang tiba-tiba laung ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu? Kuasa bukan untuk ‘hak aku, hak isteri aku, hak anak aku’. Kuasa mesti digunakan untuk bela rakyat,” ujarnya.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan pembangunan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 dan merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara, termasuk pemberian khas interim RM600 juta seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, bantuan khas sebanyak RM1.2 bilion pula diperuntukkan bagi memperkukuh grid elektrik Sabah yang sering terputus bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk di luar bandar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


