SDNU Desak Salur Segera Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir

Pengerusi SDNU Bintulu Jame Stephen (kanan) bersama Senator Abun Sui Anyit meninjau lokasi paras air banjir di Bintulu yang dibantu agensi-agensi kerajaan persekutuan pada 4 Februari lalu. Foto Facebook Jame Stephen
BINTULU, 14 Jun – Persatuan Dayak Negeri Sarawak (SDNU) Bintulu hari ini menyuarakan kebimbangan dan kekecewaan berhubung kelewatan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di kawasan Bintulu, khususnya dalam kalangan masyarakat Dayak yang terjejas teruk akibat bencana banjir besar pada awal tahun ini.
Pengerusi SDNU Bintulu, Jame Stephen, berkata pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada mangsa banjir yang masih belum menerima bantuan BWI sebanyak RM1,000 yang dijanjikan oleh kerajaan.
“Ramai mangsa di kawasan pedalaman dan luar bandar Bintulu, baik yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mahupun yang berlindung di rumah sanak-saudara, masih menunggu bantuan. Mereka kehilangan harta benda, sumber pendapatan, dan ada yang terpaksa memulakan kehidupan dari sifar semula,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Jame, kelewatan ini amat membebankan mangsa, terutamanya mereka yang berada jauh dari pusat pentadbiran dan menghadapi cabaran logistik untuk mengetahui tentang bantuan tersebut.
“Kami amat berharap agar pihak berwajib segera mengambil tindakan mempercepatkan penyaluran bantuan kepada semua yang layak. Jangan sampai mangsa terasa seolah-olah terabai daripada kerajaan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru agar kerajaan Sarawak mencontohi pendekatan Kerajaan Johor yang telah melaksanakan sistem pembayaran berfasa, membolehkan keluarga yang telah disahkan layak menerima bantuan lebih awal tanpa perlu menunggu keseluruhan proses pengesahan selesai.
“Bantuan secara berperingkat dapat meringankan beban segera sambil pihak berkuasa menyelesaikan proses semakan dan pengesahan. Langkah ini wajar dipertimbang bagi memastikan tiada keluarga yang terus menunggu dalam ketidaktentuan,” katanya lagi.

Selain itu, Jame mencadangkan agar kerajaan menyediakan mekanisme rayuan yang telus dan mudah diakses oleh mangsa yang belum menerima bantuan, khususnya mereka yang mungkin tercicir dari senarai asal.
“SDNU Bintulu bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam memastikan suara mangsa didengar dan hak mereka dipelihara. Kita tidak mahu mangsa merasa putus asa kerana kelewatan yang boleh dielakkan,” tambah beliau.
Sebagai rekod, peruntukan khas telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada Mac 2025 bagi membayar BWI kepada semua mangsa banjir, termasuk mereka yang tidak ditempatkan di PPS.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
