PM Anwar Umum Pengecualian Levi Institusi Pendidikan Bagi 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2025 di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025.
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memberi pengecualian pembayaran levi selama setahun bagi semua institusi pendidikan dan latihan bermula 1 Januari 2026.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah membantu pembangunan modal insan dan meningkatkan mutu pendidikan negara.
Katanya, pengumuman itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan daripada institusi pendidikan dan latihan yang menggesa agar levi dimansuhkan, melibatkan prasekolah, sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan vokasional, pengajian tinggi serta pusat latihan kemahiran.

“Percayalah Kerajaan MADANI akan cari kaedah dan peruntukan yang sebaiknya untuk membantu anak-anak kita.
“Pertama kali dalam sejarah, kerajaan hari ini mengumumkan pengecualian pembayaran levi selama setahun bagi semua institusi pendidikan mulai 1 Januari 2026,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2025 di ibu negara, hari ini.
Menurut Anwar, pengecualian itu bertujuan memberi ruang kepada institusi pendidikan dan latihan untuk menumpukan kepada usaha meningkatkan mutu penyampaian dan keberkesanan latihan.
Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan dan KSU Kementerian Sumber Manusia, untuk memberi tumpuan serta memantau pelaksanaan inisiatif itu agar manfaatnya sampai kepada rakyat.
Dalam ucapannya, Anwar juga mengingatkan agar syarikat swasta yang mencatat keuntungan tinggi tidak melupakan tanggungjawab terhadap pekerja, khususnya dalam bentuk imbuhan dan kenaikan upah.
Jelas beliau, kemahiran dan kecekapan pekerja dalam sektor swasta amat tinggi dan wajar dihargai, seterusnya membantu negara mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
