SCO 2025: PM Anwar Kritik Kegagalan PBB Laksana Reformasi Urus Tadbir

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin, China pada 1 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
TIANJIN, 1 Sep – Kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai aspirasi untuk melaksanakan agenda reformasi urus tadbir badan dunia itu secara menyeluruh, dikritik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, wujud defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa kerana gagal dalam mengawal ketidakadilan dalam perdagangan, struktur kewangan serta usaha menangani perubahan iklim.
Penindasan yang kejam ke atas penduduk di Semenanjung Gaza adalah contoh paling jelas tentang kegagalan urus tadbir di peringkat global yang sedang berlaku pada masa kini.

Pembunuhan beramai-ramai melibatkan wanita dan kanak-kanak itu, tegas Anwar, menunjukkan kelemahan dan ketidakupayaan dunia, khususnya PBB untuk menghentikan genosid serta pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan jelas.
Justeru, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mendesak agar reformasi dilakukan terhadap struktur urustadbir global dengan segera bagi memastikan akauntabiliti, dan melindungi golongan yang lemah dan rentan daripada ketidakadilan.
“Ramai rakan-rakan saya di sini telah menyebut tentang kekejaman yang berlaku di hadapan mata kita sendiri di Gaza dan Palestin. Membunuh bayi dan kanak-kanak secara terbuka. Bukan sahaja di Gaza dan Palestin, tetapi kini berjangkit ke negara jiran seperti Lubnan, Iraq dan Iran.

“Dan komuniti antarabangsa seolah-olah tidak berdaya. Dan atas sebab itu saya menyokong inisiatif urus tadbir global (China), tetapi anda harus melakukannya dengan lebih bermakna, lebih agresif, mempromosi idea ini …
“… dan menyokong serta meraikan kejayaan menentang sebarang bentuk imperialisme, kolonialisme, dan tekanan,” tegasnya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan buat pertama kali Malaysia di pentas Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di sini, pada Isnin.

Memetik laporan Bernama, Sidang Kemuncak di Pusat Konvensyen Tianjin Meijian (TMCC) itu dihadiri lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Walaupun Malaysia bukan negara pemerhati atau rakan dialog kepada SCO, namun kehadiran Anwar di sidang kemuncak itu, menyerlahkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati dalam hal ehwal global.
Perdana Menteri berkata Malaysia menyambut baik Inisiatif Tadbirurus Global oleh Presiden Xi, konsep yang beliau sifatkan mempunyai prinsip yang tinggi, serta menegaskan penghormatan kepada kedaulatan, pematuhan perundangan, kerjasama multilateralisme, serta keputusan yang dirasai penduduk.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
