’Saya Akan Bertemu Keluarga Teoh Beng Hock’ – PM Anwar

Menerusi hantaran di laman X, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan meneliti memorandum tuntutan yang dikemukakan keluarga mendiang. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan bertemu dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Menerusi hantaran di laman X, Anwar juga memaklumkan beliau akan meneliti memorandum tuntutan yang dikemukakan.

“Saya ambil maklum insiden yang berlaku di luar Parlimen hari ini melibatkan keluarga mendiang.

“Saya beri jaminan akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat dan meneliti memorandum tuntutan,” katanya pada Isnin.

Mendiang Teoh Brng Hock ditemui mati pada 2009 dan sejak itu keadilan baginya terus ditegakkan.

Terdahulu media melaporkan keluarga Beng Hock dihalang masuk ke Parlimen bagi mengakhiri program Walk for Justice yang dianjurkan oleh Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA).

Sebelum ini, ahli keluarga mendiang bersama ahli persatuan itu berjalan kaki sejauh 30 kilometer selama tiga hari dari Plaza Masalam, Shah Alam hingga Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.

Perarakan itu bertujuan untuk menangani isu-isu yang belum diselesaikan berkaitan kematian pembantu politik tersebut dan menuntut keadilan daripada Kerajaan Perpaduan.

Tuntutan kumpulan itu termasuk meminda Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengehadkan masa soal siasat serta menggubal undang-undang anti-penyeksaan.

Kumpulan itu juga menuntut agar pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa kes tersebut dengan sewajarnya kerana sepatutnya dibuka semula pada 2018.

Mendiang Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di bangunan sama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *