Sasar 2-3 Tahun Bersihkan Negara Dari Rasuah Khususnya ‘Jerung’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI KPT Siri 8 di Institut Integriti Malaysia (IIM) Kuala Lumpur pada 30 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan sasaran dua hingga tiga tahun untuk membersihkan segala kes rasuah dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan pemimpin atasan atau ‘jerung’ besar di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ia termasuklah ‘pemburuan’ terhadap pihak yang pernah mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk menteri untuk dibawa ke muka pengadilan jika terbukti mereka ini terbabit rasuah.
Bagi tujuan itu, beliau berkata pihaknya turut mencadangkan supaya peranan badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkukuhkan lagi.

“Saya pernah cadangkan, kalau dalam dua, tiga tahun kalau hendak kita perkukuhkan lagi SPRM ataupun badan penguatkuasaan, saya tidak ada halangan.
Dah pencen pun kalau dapat bukti, takkan terlepas
“Saya kata kalau boleh, dalam dua tiga tahun ini, ‘we clean up the mess’ (kita bersihkan kekacauan ini). Mesejnya jelas, dulu (kamu) menteri ke, KSU (ketua setiausaha) ke, KP (ketua pengarah) ke, kalau nampak salah laku, ‘we’ll go after you’ (kita akan cari kamu).
“Kalau bukan hari ini, esok, (kalau) bukan esok, tahun hadapan. Anda pencen pun (kalau) kita dapat bukti anda curi semasa berkuasa, kita akan cari. Itu tekad saya,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk ‘Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistematik’.
Panel forum termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata walaupun keutamaan kes rasuah ditumpukan pada ‘jerung besar’ namun beliau mengakui ia lebih mencabar kerana mereka mempunyai ‘sumber’ yang kuat termasuk membayar media sosial, parti politik dan media.

Beliau berkata, berikutan golongan jerung ini mempunyai kuasa, pengaruh dan dana yang besar, ia menyebabkan ada pihak yang menyokong mereka.
Katanya, ia menyebabkan proses pembersihan kes rasuah menjadi sukar kerana tidak semua pihak menyokong tindakan terbabit.
“Kalau tengok keutamaan pada SPRM adalah jerung dulu, tetapi tidak bermakna harus dibiarkan ikan bilis merayap… tapi pengalaman kita jerung itu lebih mencabar.

“Saya fikir kalau kita tuntas, bersihkan dan banteras rasuah untuk tolong rakyat, semua orang (akan) sokong. Tetapi (ini) tidak (berlaku), kerana tidak semua sokong. Ini kerana walaupun dia tidak lagi berkuasa, namun dia ada mempunyai kuasa, pengaruh dan dananya besar.
Jerung besar ada sumber yang kuat
“Sebab itu kalau di Parlimen, apabila kita berbahas, tiada yang bangkit. Bahkan ada beberapa ahli Parlimen yang hanya mempertahankan… (dituduh) apa pasal dendam, kenapa hendak bangkitkan dan sebagainya.
“Saya kata tidak. Kalau ada bukti, itu terserah pada SPRM siasat (dan biarkan) hakim memutuskan. Bukan urusan saya,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, menjadi suatu perkara yang aneh jika tindakan rasuah secara kecil-kecilan dikenakan tindakan, namun kes membabitkan jerung besar dilepaskan.
Meskipun berdepan cabaran, Perdana Menteri melihat tindakan dilaksanakan agensi penguatkuasaan dalam membanteras gejala rasuah kini berada pada tahap paling berani dalam sejarah.
“Walaupun tindakan SPRM dan Tan Sri Azam Baki jadi kontroversi, tetapi tidak boleh dinafikan dalam sejarah kita belum pernah ada tindakan seberani ini sekarang.

“Bukan setakat itu. Kalau lihat PDRM, saya puji keberanian PDRM dalam mematahkan sindiket haram yang sudah puluhan tahun berkembang,” katanya.
– Oleh Suzalina Halid
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
