SARA Dimanfaat Penerima Tanpa Perlu Tunggu ‘Hari Gaji’

Rata-rata para penerima telah mula memanfaatkan pemberian SARA bagi bulan Januari 2026 tanpa perlu menunggu ‘hari gaji’ setiap hujung bulan bagi membeli keperluan asas. Foto Harapan Madani

KUALA TERENGGANU, 11 Jan – Pelbagai cara dimanfaatkan sesetengah penerima apabila berkemampuan membeli barangan keperluan lebih awal tanpa perlu menunggu hari gaji menerusi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun 2026 yang bermula kelmarin di seluruh negara.

Tinjauan di sini mendapati, golongan suri rumah antara ‘menteri kewangan’ paling cekap mengurus perbelanjaan bulanan menggunakan SARA yang diterima sejak dua tahun lalu.

Ada di antara mereka memilih barangan ‘keutamaan tinggi’ seperti beras, minyak masak, gula dan pencuci pakaian sebagai item ‘wajib’ terlebih dahulu dan barulah bakinya diperuntukkan bagi penjagaan diri seperti sabun mandi dan sebagainya.

Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mula menggunakan bantuan yang dikreditkan ke dalam MyKad bagi perbelanjaan keperluan asas tanpa perlu menunggu ‘hari gaji’ setiap hujung bulan. Foto Bernama

Malah bagi ibu bapa pula, ada yang memanfaatkan SARA bagi membeli keperluan alat tulis dan peralatan sekolah anak-anak kerana amat sesuai dengan pembukaan sesi persekolahan yang bermula di beberapa negeri hari ini dan esok.

Tukang cuci Semek @ Norliza Muda, 51, berkata sebelum menerima bantuan SARA, perbelanjaan dapur keluarga bergantung penuh kepada gaji bulanannya, namun jumlah itu sering kali tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

Kehidupan Semek amat mencabar kerana suaminya merupakan warga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan selain menanggung anak bongsu berusia 15 tahun masih bersekolah.

“Dengan bantuan ini, saya boleh beli barangan asas seperti beras dan minyak masak di pasar raya lebih awal tanpa perlu menunggu gaji,” katanya.

Senada dengan Semek ialah jurujual Siti Fatimah Zakaria, 36, yang berkata bantuan SARA membantu menampung perbelanjaan bulanan terutama ketika menunggu gaji pada hujung bulan.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan dapur sementara menunggu gaji yang membantu memastikan keperluan asas keluarga sentiasa mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Perutusan Tahun Baharu 2026 di Putrajaya pada 5 Januari 2026. Foto JPA

Ternyata pemberian SARA bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi setempat malah memberi peluang kepada para peniaga kecil yang menyertai program itu meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing bagi menarik penerima berbelanja di premis mereka dengan tawaran harga terendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perutusan Tahun Baharu 2026 di Putrajaya pada 5 Januari lalu mengumumkan pemberian SARA bulanan di seluruh negara bermula pada 9 Januari dengan jumlah penerima dianggarkan seramai 8.1 juta orang termasuk isi rumah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *