Sambutan Menggalakkan, Program MADANI Rakyat 2026 Bermula, Perak Jadi Lokasi Pertama April Ini

Program MADANI Rakyat (PMR) diteruskan tahun ini pada 2026 dengan suntikan elemen baharu bertujuan mendekatkan kerajaan dengan rakyat. Foto Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Susulan sambutan memberangsangkan di lapan negeri tahun lepas, Program MADANI Rakyat (PMR) diteruskan tahun ini dengan suntikan elemen baharu bertujuan mendekatkan kerajaan dengan rakyat.

Sekretariat PMR 2026 dalam satu kenyataan memaklumkan program itu yang menawarkan inisiatif penyampaian perkhidmatan secara langsung serta pengisian yang memberi manfaat kepada masyarakat bakal membuka tirainya di negeri Perak Darul Ridzuan sebagai lokasi penganjuran pertama.

“Ia akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, mulai 3 hingga 5 April 2026 (Jumaat hingga Ahad).

“Bagi edisi Perak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berperanan selaku kementerian peneraju, manakala Kerajaan Negeri Perak pula berperanan selaku tuan rumah,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu memaklumkan program flagship Perdana Menteri itu diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama strategik bersama kementerian/agensi dan Kerajaan Negeri bertemakan ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’.

“PMR 2026 Perak menzahirkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan integrasi antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar yang mampan, penyediaan perumahan berkualiti bagi meningkatkan martabat kehidupan serta pembentukan komuniti harmoni untuk menjamin kestabilan sosial sebagai tunjang kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, Jasin pada 19 Oktober 2025. Foto Abdul Razak Abdul Rahman

“Aspirasi ini juga selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang turut memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti, perumahan dan pembangunan bandar,” menurut kenyataan tersebut.

Sepanjang tiga hari penganjuran, PMR 2026 Perak bakal menawarkan pelbagai pengisian menarik merangkumi perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.

Turut dilaksanakan ialah program tawaran peluang pekerjaan, festival makanan dan jualan usahawan tempatan, program pertukaran topi keledar, pertukaran minyak enjin motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut percuma, pengagihan biji benih dan anak pokok, pameran aset pertahanan dan keselamatan serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Majlis Daerah Baling pada 6 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Selain itu, penganjuran kali ini turut menekankan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) secara aktif dan penglibatan komuniti setempat dalam program yang dianjurkan bagi memperluas capaian serta manfaat program kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan perasmian pada 4 April (Sabtu), mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus turun padang sekali gus memberi peluang kepada rakyat bertemu mata dengan kepimpinan tertinggi negara.

Orang ramai dijemput hadir memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik sepanjang program berlangsung yang diadakan dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala acara pada Ahad bermula dari 9 pagi hingga 6 petang.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *