Sambutan Amat Menggalakkan, Anak Muda MADANI Kedah Rancang Perluas Perkhidmatan Ambulans Percuma – Zuraidi

Pengerusi NGO Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim (topi putih) menziarahi pesakit dalam program Ziarah Kasih sekitar Kuah baru-baru ini. Foto Facebook Datuk Zuraidi Rahim
KUALA NERANG, 25 Mac – Berikutan sambutan amat menggalakkan, Anak Muda MADANI Kedah bercadang memperluas perkhidmatan ambulans percuma ke beberapa daerah lain di negeri ini bagi memenuhi permintaan masyarakat, sebagai salah satu tanggungjawab bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim berkata langkah itu susulan kejayaan perkhidmatan yang kini ditawarkan di Padang Terap dan Pendang dalam membantu ramai penduduk mendapatkan pengangkutan kecemasan, ternyata amat membantu mengurangkan beban kos kesihatan penduduk.
Beliau berkata kemudahan itu diwujudkan bagi membantu masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan perkhidmatan pengangkutan pesakit dari rumah ke hospital tanpa perlu menanggung kos menyewa ambulans swasta yang tinggi.

“Ambulans daripada hospital atau klinik kerajaan kadangkala tidak mencukupi dalam situasi kecemasan, manakala ambulans swasta pula mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi mengikut jarak.
“Bagi penduduk berpendapatan rendah, khususnya di luar bandar, keadaan ini boleh membebankan mereka sekiranya memerlukan perkhidmatan ambulans untuk ke hospital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zuraidi berkata usaha memperluas perkhidmatan ambulans percuma itu secara berperingkat mencerminkan komitmen pertubuhan berkenaan dalam memberi perhatian terhadap aspek kesihatan serta pengurusan kematian demi manfaat masyarakat setempat.

Langkah itu juga selari dengan peranan NGO dalam melaksanakan inisiatif kebajikan bagi membantu rakyat di samping pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan.
“Jika ada rezeki, kita akan menambah lagi ambulans supaya lebih ramai penduduk yang memerlukan dapat menggunakan perkhidmatan ini secara percuma,” katanya.
Beliau berkata selain perkhidmatan ambulans darat, pihaknya turut menyediakan dua ambulans air di Langkawi bagi memudahkan urusan membawa pesakit serta jenazah dari pulau peranginan itu ke tanah besar dan sebaliknya.
Pelancarannya disempurnakan Zuraidi di Langkawi pada 28 September tahun lalu dengan sasaran membawa pesakit mendapatkan rawatan di tanah besar secara percuma sehingga kini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

