Kena ‘Scam’ Panggilan Telefon, Wanita Rugi RM3,000

Mangsa berusia 22 tahun membuat laporan polis pada jam 3.35 petang selepas menyedari dirinya ditipu dalam kejadian di Kampung Bidi, Jalan Krokong pada 24 Mac 2026.
BAU, 25 Mac – Seorang wanita mengalami kerugian lebih RM3,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai wakil platform beli-belah dalam talian dan pihak bank, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa berusia 22 tahun membuat laporan polis pada jam 3.35 petang semalam selepas menyedari dirinya ditipu dalam kejadian di Kampung Bidi, Jalan Krokong.
Menurutnya, kejadian bermula pada 7 Mac lalu apabila mangsa dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa daripada platform Taobao berpangkalan di China.
“Suspek memaklumkan mangsa telah melanggan insurans perlindungan barangan dan perlu membuat bayaran RM500 sebulan selama 24 bulan.
“Mangsa yang menafikan perkara itu kemudiannya diminta membuat bayaran RM2,008.46 bagi tujuan pembatalan dan dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran melalui imbasan kod QR yang diberikan dan menerima semula wang tersebut sejurus selepas transaksi dilakukan.
Namun katanya, pada hari sama sekitar jam 6.54 petang, mangsa sekali lagi dihubungi individu lain yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan mendakwa proses pembatalan masih belum lengkap.
“Mangsa diarahkan membuat beberapa lagi transaksi ke akaun berbeza melalui imbasan kod QR.
“Secara keseluruhan, mangsa telah melakukan lima transaksi melibatkan dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian RM3,202.26,” jelasnya.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang bayaran balik seperti dijanjikan oleh suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Jeremy Lanson
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



