Saman Fitnah: Mahkamah Tinggi Arah Siti Mastura Fail Pembelaan

Siti Mastura berdepan saman daripada tiga pemimpin DAP ekoran fitnah mengaitkan mereka dengan mendiang Lee Kuan Yew dan mendiang Chin Peng. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli Parlimen pembangkang dari Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi Georgetown, untuk menjawab tuntutan saman tiga pemimpin DAP terhadapnya, sebelum atau pada 11 Januari tahun depan.

Pada 27 November lalu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim memfailkan saman secara berasingan terhadap Siti Mastura berhubung ucapannya pada ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Peguam Datuk S N Nair yang mewakili ketiga-tiga plaintif ketika dihubungi pemberita, berkata Penolong Kanan Pendaftar Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin memerintahkan demikian pada prosiding pengurusan kes hari ini secara e-review.

Beliau berkata mahkamah turut mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pembelaan itu sebelum atau pada 26 Januari tahun hadapan.

Katanya lagi, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes lanjut pada 9 Februari tahun depan.

Ketiga-tiga plaintif turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Mohamad Hakim Faharmi Hassan mewakili Siti Mastura selaku defendan.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Siti Mastura berdepan saman daripada tiga pemimpin DAP ekoran fitnah mengaitkan mereka dengan mendiang Lee Kuan Yew dan mendiang Chin Peng. Foto Arkib

Plaintif mendakwa, ketika ceramah pada 4 November lalu, defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada mereka iaitu mereka mempunyai hubungan dengan PKM, menyokong dan mengamalkan serta menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Ketiga-tiga ahli politik itu menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu dan berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan PKM dan Chin Peng.

Menurut semua plaintif, tindakan defendan jelas sekali didorong tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan.

Fitnah: Polis Siasat Siti Mastura Jam 5 Petang Ini

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *