Saman Fitnah: ADUN Pas Mohon Maaf Fitnah Ahli Parlimen DAP

Ahli parlimen Bangi, Syahredzan Johan berjaya mencalar imej ADUN Pas Sungai Ramal, Shafie Ngah berhubung saman fitnah yang dikeluarkan menerusi hantaran di media sosial. Foto Facebook Syaherdzan Johan
KUALA LUMPUR, 26 Sep – Seorang Adun Pas Selangor memohon maaf kepada Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan kerana memfitnahnya semasa berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) bagi PRU 2022 dan PRN 2023.
Adun Sungai Ramal Shafie Ngah memuat naik permohonan maaf tanpa syarat dan nyata kerana secara salah menuduh wakil rakyat DAP itu bukan seorang Muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.
“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah secara penuhnya tidak benar, tidak berasas, dan secara keseluruhannya tidak mempunyai sebarang merit. Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres, dan kerosakan reputasi kepada Syahredzan.

“Saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau berkemungkinan memfitnah Syahredzan,” katanya.
Shafie juga mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya dan secara komited memastikan akan bertindak lebih berhati-hati, hormat, dan berintegriti pada masa depan.
Dalam perkembangan berasingan, Syahredzan berkata ini susulan penghakiman persetujuan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana dipersetujui Shafie akan memohon maaf dan tidak mengulangi dakwaannya.
Naib Pengerusi DAP itu, berkata permohonan maaf Shafie turut diterbitkan dalam dua akhbar dan platform media sosial cawangan Pas serta PN di Bangi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya Daniel Albert, Nicholas Yap, dan Amanda Yap daripada Daniel & Wong, atas khidmat mereka dalam kes ini,” katanya dalam catatan di Facebook.
Syahredzan memfailkan saman berkenaan pada Ogos 2023, sejurus sebelum Shafie memenangi persaingan bagi kerusi Sungai Ramal pada PRN Selangor.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

