Kekalkan Papan Tanda Ikonik Seimbangkan Warisan, Undang-Undang Di Kuala Lumpur

Lai Chen Heng berkata, usaha pemeliharaan ini perlu diperluaskan merangkumi papan tanda lama yang telah wujud lebih 100 tahun di tokong, bangunan persatuan, dan restoran di Kuala Lumpur.

PENDAPAT, 26 Sep – Naib Pengerusi MPN KEADILAN Wilayah Persekutuan, Lai Chen Heng menegaskan, Kuala Lumpur perlu mengambil langkah bijak untuk melindungi papan tanda lama dan bangunan bersejarah sebagai aset negara yang tidak ternilai, tanpa mengabaikan peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau merujuk kepada insiden di Seremban, di mana papan tanda lama bertulisan Cina diturunkan, sebagai peringatan penting bagi ibu negara yang kaya dengan warisan dan identiti bangsa yang menjadi latar penting kepesatan pembangunan Kuala Lumpur.

“Papan tanda lama bukan sekadar tulisan, ia adalah sebahagian daripada identiti bangunan bersejarah itu sendiri.

Kuala Lumpur lahir daripada gabungan indentiti unik termasuk kepelbagaian papan tanda pelbagai bahasa yang wajar dikekalkan buat tatapan generasi muda dan pelancong asing.

“Insiden di Seremban adalah contoh jelas betapa pentingnya warisan ini kepada identiti kita. Papan tanda lama ini menjadi saksi bisu perjalanan masyarakat pelbagai kaum yang membina Kuala Lumpur sejak awal,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur turut menegaskan, usaha pemeliharaan ini perlu diperluaskan merangkumi papan tanda lama yang telah wujud lebih 100 tahun di tokong, bangunan persatuan, dan restoran.

Arca tulisan bukan sahaja terpampang dalam Bahasa Cina, malah Tamil dan tulisan Jawi pada bangunan atau rumah kedai lama di Lembah Klang yang wujud sejak abad ke-20 , juga adalah sebahagian daripada warisan ini yang perlu dipertahankan.

Identiti warisan bangsa seperti papan tanda ikonik pelbagai bahasa yang wujud beratus tahun wajar dikekalkan seimbang dengan tuntutan undang-undang dan peraturan sedia ada di ibu negara.

Semasa beliau berkhidmat dalam DBKL, beliau banyak mengulas dalam insiden papan tanda pada tahun 2024. Pada masa sama, beliau juga mempertahankan papan tanda Pasar Lee Lam Thye di Jalan Tun HS Lee.

Mematuhi Undang-Undang Sambil Memelihara Warisan

Lai menekankan bahawa isu ini boleh ditangani secara seimbang. Beliau mengakui keperluan mematuhi Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Undang-undang ini mengkehendaki semua iklan menggunakan bahasa kebangsaan, dan bahasa lain boleh digunakan sebagai tambahan.

Bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor antara warisan ikonik yang kekal utuh mencerminkan kepelbagaian kemajuan Kuala Lumpur sejak lombong bijih timah dan estet getah wujud beratus tahun lalu.

“Saya faham ada keperluan untuk mematuhi undang-undang yang mengutamakan bahasa kebangsaan. Namun, kita boleh mencari jalan untuk memelihara warisan papan tanda ini dengan menambahkan teks bahasa kebangsaan yang sesuai,” jelas beliau.

”Ini bukan tentang menghapuskan, tetapi menambah dan menyelaraskan. Ia menunjukkan penghormatan kita kepada warisan budaya tanpa melanggar undang-undang.”

Lai membandingkan nasib warisan ini dengan Singapura yang telah kehilangan sebahagian besar khazanah sebegini.

Kewujudan Jalan Pasar yang terkenal dengan simbol ‘syurga elektronik’ sejak berpuluh tahun lalu antara warisan negara khususnya pembangunan Kuala Lumpur.

”Kuala Lumpur masih beruntung kerana kita masih memilikinya. Ini adalah daya tarikan unik yang boleh mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya dan sejarah,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersikap toleransi, satu garis panduan yang jelas perlu diwujudkan agar warisan ini tidak terperangkap dalam “ruang kelabu sistem”.

“Peranan ibu negara bukan hanya sebagai pusat ekonomi, tetapi juga sebagai cermin yang memaparkan semangat Malaysia Madani. Prinsip kepelbagaian dan keterangkuman boleh direalisasikan melalui perlindungan warisan ini,” kata Lai.

Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi latar budaya Kuala Lumpur menjadi tarikan pelancong asing yang wajib mengabadikan kenangan di tengah-tengah kemunculan Menara Merdeka 118 dan KLCC.

Beliau menggesa DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk segera merangka garis panduan yang mesra masyarakat bagi memastikan khazanah ini terus dipertahankan.

Dikeluarkan oleh:

LAI CHEN HENG
Naib Pengerusi Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang Wangsa Maju
Parti Keadilan Rakyat

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *