Russia Ugut Guna Satan-2

MOSCOW, 15 Jul – Rusia memberi amaran akan melaksanakan ujian baharu peluru berpandu hipersonik jenis Sarmat digelar Satan-2 yang boleh memusnahkan negara barat.
Ketua agensi angkasanya, Dmitry Rogozin berkata, pihaknya sedang menyiapkan senjata yang kini dalam proses pengeluaran besar-besaran.
“Senjata nuklear jarak global paling berkuasa di dunia sedang disediakan untuk ujian baharu dan pengeluaran bersiri,” katanya ketika memeriksa senjata terbabit yang bersaiz menara 14 tingkat.
Rogozin berkata, peluru berpandu hipersonik 208 tan 15,880 batu sejam dibangunkan mengikut jadual perancangan asal.
“Bagi prestasi teknikal, apa yang mereka ada dalam senjata mereka pastinya ketinggalan daripada apa yang kita ada.
“Mereka jauh ketinggalan terutama dari segi keupayaan reka bentuk peluru berpandu balistik antara benua Sarmat kami, yang disahkan dalam pelancaran ujian pertama,” katanya.
Sebelum ini ketika pencerobohan Ukraine, ahli politik dan televisyen kerajaan Rusia kerap mencadangkan supaya negara itu melepaskan peluru berpandu terhadap barat.

Pemimpin Rusia, Vladimir Putin sebelum ini turut angkuh apabila menjangkakan pengeluaran peluru berpandu nuklear hipersonik baharu akan siap beberapa bulan lagi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Rusia, Aleksey Zhuravlyov, mencadangkan senjata maut itu boleh dilepaskan Moscow untuk melawan Sweden dan Finland, selain United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Zhuravlyov terus membuat dakwaan berani tentang keupayaan peluru berpandu itu sekali gus menolak idea asal Rusia perlu menubuhkan pangkalan nuklear lebih dekat dengan sempadan Finland untuk melakukan serangan.
“Kremlin akan dapat memusnahkan Finland (dengan peluru berpandu itu) dari Siberia, malah (ia) boleh sampai ke UK,” katanya seperti dilaporkan The Independent.
Setakat ini, Rusia dilaporkan sudah mengadakan ujian pertama Satan-2 dari Plesetsk Cosmodrome, utara Rusia pada 20 April lalu.
Namun, ia komited untuk melancarkan peluru berpandu dengan pasukan roket strategik negara berkenaan menjelang akhir tahun ini.
