Kongres KEADILAN – 2,665 Perwakilan Mengundi MPP Hari Ini

SHAH ALAM, 16 Jul – Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-16 memasuki hari kedua ini bakal menyaksikan seramai 2,665 orang perwakilan akan mengundi memilih 20 calon bagi menduduki kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Kesemua perwakilan tersebut termasuk mereka yang dipilih dalam sayapnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR masing-masing 50 wakil akan memilih calon daripada 73 senarai bertanding bermula pukul 11.15 pagi ini.

Difahamkan, ia adalah jumlah perwakilan daripada 222 cabang di seluruh negara yang layak mengundi pada hari ini.

Sebanyak 2,665 perwakilan akan mengundi lebih 70 calon yang bertanding untuk merebut tempat dalam MPP bagi sesi 2022 hingga 2025.

Berdasarkan jadual kongres, mereka akan mengundi hari ini dan keputusannya pula diumumkan esok.


Pada sesi kongres hari ini, lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati hadir bagi mendengar ucapan Setiausaha Agung serta perasmian dan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, dijadualkan seramai 17 perwakilan akan berbahas pada hari ini bermula tengah hari nanti sebelum pembubaran MPP bagi sesi 2018 hingga 2021 pagi esok.

Semalam, perwakilan dan pemerhati menyaksikan kongres AMK dan Wanita yang menampilkan Ketua dan Timbalan Ketua masing-masing yang baharu memenangi pemilihan parti pada Mei lalu serta 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat sayap dipilih pada hari sama.

Pemilihan KEADILAN bagi sesi 2022 hingga 2025 menyaksikan Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi Presiden tanpa dicabar, beberapa muka baharu bakal bersama beliau seperti Timbalan Presiden, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Datuk Seri Aminudin Shari, Chang Lih Kang dan Nik Nazmi Ahmad.

Maklumat terbaharu menyebut, tempoh pengundian MPP akan dijalankan bermula jam 11 pagi sehingga 6 petang dan keputusan akan dipaparkan di laman sesawang JPP malam ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *