Rundingan Selesai Kemelut Sempadan Thailand-Kemboja Tonjol Wibawa PM Anwar Selaku Pengerusi ASEAN 2025

Menurut Mohd Khairol Iwan, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai ejen pemudah cara dalam menyelesaikan konflik, malah turut memperkukuh imejnya sebagai negara yang mendukung keamanan serantau dan melindungi kepentingan ASEAN selaku blok yang dihormati di peringkat global. Foto Mohd Khairol Iwan Mat Khairi

PENDAPAT, 7 Jun – Inisiatif Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang usaha rundingan secara diplomatik dalam menyelesaikan kemelut isu sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar mendapat sokongan penuh daripada semua pihak, malah menonjolkan kewibawaan beliau selaku perunding berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Memegang teraju selaku Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serantau terpelihara demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan lebih 680 juta rakyat di 10 buah negara di rantau ini.

Tidak hairanlah, ulas Ketua Cabang KEADILAN Bukit Gantang, Mohd Khairol Iwan Mat Khairi, wibawa Perdana Menteri dihormati para pemimpin ASEAN sebagai ‘orang tengah’ yang menjadi pengantara kepada sebarang krisis serantau termasuk di Myanmar dan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.

Tentera Kemboja berkawal di wilayah Preah Vihear yang bersempadan dengan wilayah Ubon Ratchathani pada 2012. Foto EPA

“Isu sempadan antara Thailand dan Kemboja bukanlah perkara baharu, malah telah berlarutan selama beberapa dekad yang boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani dengan bijaksana.

“Adalah menjadi keutamaan Perdana Menteri menggunakan pendekatan diplomatik sebegini yang jelas merupakan langkah strategik lagi berhemah bagi memastikan ASEAN kekal sebagai sebuah komuniti yang harmoni, dinamik namun kekal berpaksikan rakyat.

“Tambahan lagi Perdana Menteri juga amat mengenali kedua-dua bapa PM Thai (Thailand) dan PM Kemboja sekarang iaitu Thaksin Shinawatra dan Hun Sen,” jelasnya.

Ia sudah tentu lebih memudahkan sebarang rundingan dijalankan antara kedua-dua negara yang juga saling bergantung dalam banyak hal termasuk perdagangan, budaya dan sosioekonomi.

Mengulas lanjut, Mohd Khairol Iwan melihat peranan Malaysia dalam konteks Kepengerusian ASEAN 2025 menjadi platform yang sesuai untuk memperkukuh kepercayaan antara negara-negara anggota agar dapat berunding secara berhemah, menghormati prinsip kedaulatan negara masing-masing dan mengelakkan sebarang konflik bersenjata.

Perbualan telefon secara langsung antara Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jun 2025. Foto X Anwar Ibrahim

Ini sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk menjadi sebuah rantau yang aman, stabil dan makmur dalam mengelakkan sebarang ketegangan yang boleh merebak ke Vietnam dan Laos sebagai negara jiran kedua-dua negara itu.

“Saya juga melihat inisiatif ini juga menzahirkan dasar luar Malaysia yang pragmatik dalam memainkan peranan konstruktif bagi membantu negara-negara jiran menyelesaikan masalah dalaman melalui saluran diplomasi yang inklusif namun kekal berprinsip.

“Sudah pasti Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai ejen pemudah cara dalam menyelesaikan sesuatu konflik, malah turut memperkukuh imejnya sebagai negara yang mendukung keamanan serantau dan melindungi kepentingan ASEAN selaku blok yang dihormati di peringkat global,” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bersama pemimpin ASEAN pada Majlis Menandatangani Deklarasi ‘ASEAN 2045 : Our Shared Future’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dengan peluncuran Deklarasi ASEAN 2045 di Kuala Lumpur sekali gus wadah komprehensif buat 20 tahun akan datang, langkah Datuk Seri Anwar ini harus dipuji dan disokong oleh semua pihak bagi memastikan ASEAN terus menjadi model kerjasama serantau yang boleh menjadi contoh terbaik dalam mempromosikan keamanan global biarpun masih berdepan dengan isu tarif Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *