Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Tingkat Kerjasama Malaysia-Brunei – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Rundingan Kerjasama Pemimpin Tahunan ke-25 di Bandar Seri Begawan pada Isnin. Foto Bernama
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia dan Brunei yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini hari ini, berjaya meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dalam usaha meneruskan hubungan baik antara Malaysia dengan Brunei, kerajaan tidak boleh menafikan peranan pemimpin terdahulu untuk mengekalkan jalinan itu.
Bagaimanapun dalam meneruskan kerjasama itu, beliau berkata kerajaan mempunyai pendekatan berbeza untuk memastikan hubungan Malaysia dengan Brunei mampu memberi impak lebih berkesan kepada kedua-dua negara.

“Ada dua aspek, satu ialah kita bertekad untuk meningkatkan hubungan itu dalam semua bidang yang mungkin, dan kedua adalah kita mempunyai pendekatan agak berganjak daripada pendekatan dahulu.
“Kita meminta hubungan langsung dalam beberapa aspek walaupun tertakluk kepada keputusan muktamad (Kerajaan) Persekutuan, antaranya hubungan langsung antara Brunei, Sabah dan Sarawak.
“Ini pendekatan praktikal kerana di sempadan juga (ada) keperluan untuk ditingkatkan hubungan pengangkutan dan pelancongan, (agar ia) boleh dimanfaatkan oleh Brunei serta Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin seterusnya mengadakan rundingan bersama antara delegasi kedua-dua negara yang bermula kira-kira jam 11.50 pagi tadi.
Sultan Hassanal Bolkiah kemudian berkenan untuk menyaksikan bersama Anwar pemeteraian memorandum persefahaman dan instrumen dua hala melibatkan dua negara di Baitul Mesyuarah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan antara yang mengiringi Anwar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
