Di Mana Nilai Kemanusiaan, Simpati Penderitaan Rakyat Palestin Di Kalangan Rakyat? – Abul Jais

Pemimpin KEADILAN Perak Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan mereka tidak merasai keperitan yang dialami rakyat Palestin yang berjuang setiap hari mempertahankan tanah air mereka sendiri. Foto Arkib
IPOH, 26 Ogos – Mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa masuk 41 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan perubatan segera, wajar memeriksa hati nurani di mana letaknya nilai kemanusiaan sesama insan dalam diri mereka.
Sambil menyatakan rasa kesal dengan bantahan sesetengah pihak ekoran isu itu, pemimpin KEADILAN Perak Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan mereka tidak merasai keperitan yang dialami rakyat Palestin yang berjuang setiap hari mempertahankan tanah air mereka sendiri.
“Saya kesal dengan kenyataan sesetengah pihak mempersoal tindakan Perdana Menteri menyelamatkan kira-kira 127 rakyat Palestin termasuk 41 yang cedera untuk dirawat di Malaysia kerana tidak ada lagi fasiliti perubatan yang boleh digunakan akibat pengeboman semua hospital di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

“Apakah ini teladan yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat antarabangsa kerana ketegasan Perdana Menteri berjuang demi Palestin disusuli dengan tindakan beliau membawa mereka untuk dirawat membebankan kerajaan? Sudah pasti tidak,” bidasnya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Beruas meminta kerajaan tidak perlu mendengar suara-suara sumbang pihak yang tidak mahu masuk campur dengan kezaliman rejim Zionis sebaliknya memastikan mereka yang dirawat dapat kembali ke Palestin apabila keadaan bertambah baik.
“Saya menggesa kerajaan terus melakukan yang terbaik buat rakyat Palestin yang dirawat di negara kita sementara rundingan gencatan senjata yang diusahakan beberapa negara menemui jalan penyelesaian.

“Maka pihak yang mempertikai kewajaran Perdana Menteri membantu rawatan rakyat Palestin ini sebenarnya memalukan diri sendiri kerana majoriti rakyat Malaysia tetap bersolidariti bersama Palestin,” tegasnya.
Malah kerajaan juga memberi jaminan mereka akan dihantar pulang setelah rawatan selesai dan situasi di Gaza dan Rafah lebih tenang terutama melibatkan kemudahan asas yang musnah sama sekali.
Terdahulu Anwar pada Ahad kesal dengan kenyataan sestengah pihak yang mempersoalkan usaha kerajaan membela nasib rakyat Palestin dengan menyifatkan mereka sebagai ’biadab dan tidak berperikemanusiaan’.
Anwar menegaskan, individu atau pihak tersebut tidak layak menjadi rakyat yang faham mengenai jiwa dan hati nurani manusia.

“Ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak semalam, sebenarnya saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah.
“Sarjana terbabit kata kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Ini pandangan paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan.
“Mujurlah suara ini suara kerdil tapi jangan kita izinkan berterusan kerana jika kita izinkan dia membiak, apa sahaja fahaman melampau jangan kita biarkan kerana bibit itu jika diizinkan akan jadi barah termasuk suara ini,” katanya ketika berucap pada majlis Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak yang mahu keutamaan bantuan diberikan di dalam negara terlebih dahulu berbanding membawa rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
