RON95 Dalam Tong: KPDN Akan Panggil Pemilik Kereta, Bakal Didakwa

KPDN Johor akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut.

JOHOR BAHRU, 24 Mac – Susulan penyebaran video tular semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat seorang wanita serta lelaki yang didakwa mengisi RON95 bersubsidi dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor.

Pengarah KPDN Johor, Saslinda Pornomo, berkata pihaknya telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu serta meneliti rekod transaksi bagi tujuan pengesahan.

Menurutnya, semakan awal mendapati satu transaksi untuk mengisi RON95 dalam tangki kenderaan dan satu lagi dalam tong plastik di bahagian but dengan kuantiti melebihi had dibenarkan.

“KPDN Johor akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan pengawal bekalan.

Individu yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.

Terdahulu, video menunjukkan seorang wanita dan lelaki didakwa mengisi RON95 hampir RM230 di stesen minyak Petronas di Skudai. Mereka dilihat mengisi petrol bersubsidi itu ke dalam tong plastik sebelum mengisi tangki kereta.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) dilaporkan akan menyekat MyKad yang digunakan dalam transaksi itu dan pemilik kereta terbabit daripada terus menikmati BUDI95 kerana menyalahgunakan subsidi bahan api.

Kenyataan media Kementerian Kewangan pada 23 Mac 2026. Foto Kementerian Kewangan

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *