Roboh Pangkalan Haram: Berakhirnya Era ‘Duit Haram’ Di Sungai Golok

Pasukan keselamatan melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang penyeludupan barangan bersubsidi yang sepatutnya menjadi hak mutlak rakyat Malaysia.
PENDAPAT, 17 Okt – Sejak sekian lama, masalah penyeludupan menjadi salah satu punca mengapa rakyat sukar mendapatkan barangan keperluan asas menyebabkan kerajaan rugi berpuluh-puluh juta ringgit setahun dari segi nilai subsidi dan serta kemampanan ekonomi negara.
Lebih banyak penjimatan dijangka dapat diperolehi setelah 153 pangkalan haram yang dikenal pasti di Sungai Golok setakat ini bakal oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Kewujudan Sungai Golok yang menjadi sempadan darat antara Malaysia dan Thailand, telah menjadi ‘syurga dunia’ bagi ejen penyeludupan barangan seperti petrol, diesel, rokok, dan barang kawalan lain.
Kewujudan pangkalan haram ini bukan sahaja menjejaskan hasil pendapatan negara, malah turut menimbulkan masalah keselamatan serta menggalakkan kegiatan ekonomi gelap di kawasan sempadan.
Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebagai agensi tunggal mengawal sempadan negara diharap dapat bertindak tegas merobohkan pangkalan-pangkalan haram di sepanjang sungai berkenaan.

Penguatkuasaan yang dijalankan AKPS dijangka dapat mengurangkan ketirisan hasil negara yang bernilai jutaan ringgit setiap tahun. Aktiviti penyeludupan yang selama ini menyebabkan subsidi kerajaan disalahgunakan akan dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Ini ditambah lagi dengan penyasaran subsidi bahan api seperti BUDI95 dapat mengurus perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi bahan api dan barang keperluan akan menjadi lebih tepat kepada golongan sasaran, sekali gus meningkatkan kecekapan fiskal negara.
Peranan AKPS antara lain memastikan penjimatan turut dapat dilihat dari segi pengurangan kos penguatkuasaan jangka panjang. Apabila laluan haram berjaya ditutup, pihak berkuasa boleh menumpukan sumber dan tenaga mereka kepada operasi keselamatan yang lebih strategik.

Masyarakat setempat juga bakal menikmati manfaat apabila aktiviti ekonomi sah dapat berkembang tanpa gangguan pihak tidak bertanggungjawab.
Pakar ekonomi memberi amaran sekiranya aktiviti penyeludupan rentas sempadan tidak dibanteras, negara akan kehilangan hasil puluhan juta ringgit sekali gus penyasaran subsidi tidak berjaya.
Kerajaan pusat mahu semua pihak termasuk kerajaan negeri memberi kerjasama penuh dalam langkah merobohkan pangkalan haram di Sungai Golok kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan sempadan, tetapi turut menjamin kestabilan ekonomi negara.
Tindakan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membanteras penyeludupan dan memastikan setiap sen hasil negara digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya menjadi sumber haram bagi keluarga yang akhirnya membenihkan masalah sosial lain seperti dadah, jenayah rentas sempadan serta pengabaian keluarga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
