RMK13: Laungan ‘Kekal Anwar’ Bergema Di Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Sejurus selesai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 1.47 petang tadi, laungan ‘Kekal Anwar’ bergema di Dewan Rakyat.
Dapat diperhatikan, laungan tersebut disuarakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menangguhkan sesi persidangan bagi perbahasan RMK13 hingga jam 10 pagi Isnin depan.

Laungan itu dipercayai sebagai reaksi balas terhadap teriakan ‘Turun Anwar’ yang menjadi antara agenda himpunan anjuran pembangkang di ibu negara Sabtu lalu.
Himpunan berkenaan yang berlangsung jam 11 pagi Sabtu lalu difahamkan bertujuan mendesak Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri namun jumlah peserta yang jauh dari sasaran penganjur diketuai Pas, mematahkan semangat mereka hinggakan Anwar mencabar pembangkang mengusulkan undi tidak percaya dalam minggu ini.

Bagaimanapun sehingga hari ini, cabaran Anwar langsung tidak bersambut malah Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang hadir pada pembentangan RMK13 hari ini tidak mampu berbuat apa-apa.
RMK13 yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkumi pelan pembangunan menyeluruh termasuk kemampanan ekonomi negara, peruntukan pelaburan, kadar gaji minimum, peluasan hasil cukai serta insentif perlindungan sosial dan faedah kepada rakyat.

Anwar tampil segak dengan baju kemeja batik lengan panjang dan seluar slack hitam diiringi Pemangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang kecuali Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
