RMK-13 Selari Pendekatan Ekonomi MADANI – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika hadir pada Persidangan Ketersambungan Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 30 Julai 2025. Foto Kementerian Komunikasi
KUALA LUMPUR, 30 Jul – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) akan mengambil pendekatan “raising the ceiling and raising the floor”, iaitu memperkukuh ekonomi negara sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
Fahmi berkata, RMK-13 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok akan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat secara menyeluruh seiring dengan prinsip MADANI.
“Ya, yang jelas, apa yang mendasari RMK13 ialah kerangka Ekonomi MADANI yang kita ambil sebagai prinsipnya ‘raising the ceiling and raising the floor’.
“Maksudnya, melalui perancangan lima tahun ke depan, kita berhasrat untuk meningkatkan pendapatan negara dan juga pendapatan rakyat,” katanya ketika sidang media Persidangan Ketersambungan Antarabangsa di sini, hari ini.
Jelasnya, tumpuan turut akan diberikan kepada pembangunan sektor-sektor industri yang berasaskan nilai tambah dan penciptaan nilai, khususnya dalam bidang industri hiliran.
“Fokusnya adalah kepada sektor hiliran. Ini secara umum, tetapi perinciannya akan diketahui setelah ia dibentangkan esok,” ujarnya lagi.
RMK-13 dijangka memberi penekanan kepada langkah rangsangan ekonomi berbanding pendekatan penjimatan.
Malah, RMK13 dijangka menjadi platform utama untuk kerajaan memperkenalkan dasar gaji progresif, menetapkan kadar gaji yang lebih realistik seiring bebanan kos sara hidup.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
