Rizab Antarabangsa Malaysia Tertinggi Dalam 10 Tahun Mampu Serap ‘Kejutan’

Rizab besar negara ini kini mempunyai 'perisai perlindungan' yang cukup ampuh untuk menstabilkan pasaran kewangan jika berlaku kejutan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi.
KUALA LUMPUR, 28 Sep – Kedudukan rizab antarabangsa Malaysia yang tinggi memberi isyarat kukuh kepada pelabur asing bahawa negara ini mempunyai ‘perisai perlindungan’ yang cukup ampuh untuk menstabilkan pasaran kewangan jika berlaku kejutan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi.
Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, berkata walaupun ringgit tetap terdedah kepada faktor luaran seperti dasar monetari Amerika Syarikat (AS) atau aliran keluar modal, kedudukan rizab antarabangsa itu mengurangkan risiko turun naik mendadak.
“Ia tidak menghapuskan tekanan ke atas ringgit, tetapi memberi ‘penampan keyakinan’ yang penting kepada pelabur antarabangsa,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Amir berkata, rizab semasa negara ini mampu membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, jauh melebihi piawaian antarabangsa sekitar tiga bulan.
“Ini memberi fleksibiliti kepada Malaysia untuk menangani kejutan jangka pendek seperti kenaikan harga minyak, selain membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan dasar monetari yang stabil tanpa panik terhadap kecairan mata wang asing,” katanya.
Namun, beliau menegaskan, bagi jangka sederhana, imbangan dagangan tetap bergantung pada daya saing eksport serta kestabilan permintaan global.
“Rizab tinggi membantu sebagai jaringan selamat, tetapi ia tidak boleh menggantikan keperluan pembaharuan struktur dalam sektor eksport. Eksport kita perlu kekal kompetitif walaupun berdepan perang dagang atau tarif timbal balas baharu,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai kesan kepada perdagangan antarabangsa, Amir berkata, paras rizab yang tinggi turut meningkatkan kestabilan makroekonomi, sekali gus mengurangkan turun naik ringgit.
“Ini memberi kepastian harga kepada pengeksport dan pengimport, selain meyakinkan rakan dagang bahawa Malaysia mampu mengekalkan keterbukaan perdagangan walaupun dalam pasaran global yang mencabar,” katanya.
Dalam konteks hutang luar jangka pendek pula, beliau menjelaskan, rizab antarabangsa kini mampu menampung 0.9 kali bayaran hutang, yang menjadi asas keyakinan terhadap kekuatan kewangan negara.
“Kedudukan ini penting kerana dunia semakin berdepan risiko ketegangan perdagangan, konflik serantau dan perubahan pakatan global. Pelabur mahukan kepastian bahawa Malaysia mempunyai kecairan mencukupi untuk kekal stabil walaupun berlaku kejutan luaran,” katanya.
Amir merumuskan, rizab antarabangsa adalah benteng pertahanan pertama, tetapi daya tahan sebenar bergantung pada kepelbagaian pasaran eksport, peningkatan produktiviti, serta pelaburan dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti semikonduktor, teknologi hijau dan digital.
Rizab antarabangsa Malaysia terus meningkat pada September, mencecah paras tertinggi 10 tahun sebanyak AS$122.8 bilion setakat 12 September lalu.
Jumlah itu bertambah kira-kira AS$100 juta berbanding AS$122.7 bilion pada akhir Ogos, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam menghadapi turun naik pasaran global.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


