Ringgit Susut Sedikit Berbanding Dolar AS

Selain kekurangan data ekonomi, tahap ketidaktentuan dasar juga meningkat dan keadaan itu akan menyokong nilai dolar AS dalam tempoh terdekat. Foto Mohamad Shahril
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) semakin berkurang, menandakan pasaran kekal tidak yakin akan berlaku satu lagi penurunan pada mesyuarat Disember.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.1565/1645 berbanding dolar AS daripada paras penutup semalam pada 4.1480/1530.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata selain kekurangan data ekonomi, tahap ketidaktentuan dasar juga meningkat dan keadaan itu akan menyokong nilai dolar AS dalam tempoh terdekat.

“Indeks Dolar AS (DXY) kini berada sedikit melepasi paras 100 mata susulan aliran data ekonomi selepas pembukaan semula kerajaan AS yang tidak begitu memberangsangkan.
“Selain itu, pegawai Rizab Persekutuan (Fed) juga tidak cenderung untuk menurunkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit melemah hari ini berikutan data ekonomi AS yang terhad, sambil menyatakan kejutan terhadap bacaan data telah menurunkan peluang pemotongan kadar Fed pada Disember daripada sekitar 50 peratus kepada kira-kira 30 peratus.
“Perkembangan ini mendorong hasil bon AS jangka pendek meningkat apabila pedagang menyingkirkan jangkaan pelonggaran dasar dalam tempoh terdekat,” katanya.
Menurut beliau, bagi ringgit, keadaan ini adalah tekanan klasik, pertumbuhan ekonomi AS yang lebih kukuh ditambah dengan jangkaan pemotongan kadar yang lebih sedikit menyebabkan perbezaan kadar faedah AS-Malaysia semakin melebar, sekali gus menarik aliran modal ke dolar dan menjauhi mata wang serantau.
“Pasaran akan meneliti data pekerjaan bukan ladang (NFP) bagi September yang tertangguh malam ini, dan sekiranya terdapat kelemahan, ringgit dijangka dibuka lebih kukuh esok,” katanya.
Pada penutupan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 2.6446/6498 daripada 2.6598/6632 pada penutupan Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.7916/8008 daripada 4.8013/8071 semalam, dan menguat berbanding pound Britain kepada 5.4367/4472 daripada 5.4451/4516 sebelum ini.
Ringgit pula didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1873 daripada 3.1810/1851 pada Rabu, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.8093/8395 daripada 12.7977/8191 pada penutupan semalam, lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 248.3/248.9 daripada 248.2/248.6, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.04/7.05.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


