PM Anwar Akhiri Lawatan Ke Ethiopia, Kini Menuju Afrika Selatan Bagi Mesyuarat Pemimpin G20

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines (MAS) membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Addis Ababa pada 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) pada 20 November 2025. Foto PMO

ADDIS ABABA, 20 Nov – Kembara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diteruskan dengan mengakhiri tirai lawatan rasmi tiga hari ke Ethiopia dan kini menuju Johannesburg, Afrika Selatan yang menjadi destinasi kedua daripada tiga negara yang dikunjungi beliau di benua Afrika.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines (MAS) yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Addis Ababa pada 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia yang diketuai Presidennya, Sheikh Haji Ibrahim Tufa dalam rangka lawatan rasmi ke Ethiopia di Addis Ababa pada 20 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Anwar akan memulakan lawatan kerja ke Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Pengerusi G20 dan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.

Afrika Selatan merupakan Presiden G20 bagi tahun ini setelah Peru menjadi tuan rumah tahun lalu.

Anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Ethiopia atas jemputan Perdana Menteri, Dr Abiy Ahmad Ali dari 19 hingga 20 November 2025. Foto PMO

Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, barisan pegawai kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.

Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai AS$1.71 bilion (RM7.82 bilion).

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan berjumlah AS$840 juta (RM3.84 bilion) manakala import sebanyak AS$870 juta (RM3.98 bilion).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia di Addis Ababa pada 19 November 2025. Foto PMO

Afrika Selatan adalah negara paling selatan benua Afrika dan mempunyai penduduk lebih 63 juta orang.

Anwar dijadualkan berlepas ke Nairobi, Kenya pada 23 November sekali gus melengkapkan lawatan beliau ke Afrika.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *