Reformasikan Peranan, Sumbangan Selaras Pengiktirafan ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang’

Pengiktirafan dunia terhadap wanita mampu diperkasa dengan adanya reformasi dalam institusi bagi mengiktiraf bakat dan peranan mereka mendepani cabaran semasa. Foto Instagram Andre Lai

PENDAPAT, 8 MacTanggal 8 Mac setiap tahun, kita menyambut Hari Wanita Sedunia untuk meraikan dan menghargai wanita yang telah berjaya dan memberi sumbangan kepada negara dan dunia dalam pelbagai bidang sama ada pendidikan, ekonomi, sosial, politik mahupun budaya.

Sesuai dengan Tema Hari Wanita Sedunia yang dipilih bagi tahun ini iaitu “Wanita Dijulang, Negara Gemilang”, jelas menekankan kepentingan untuk mengiktiraf dan menggalakkan wanita untuk mencapai cita-cita dan impian mereka dalam apa saja bidang yang mereka ceburi.

Pandangan saya, sambutan Hari Wanita Sedunia bukan sekadar hari yang penting untuk kita mengenang dan menghargai wanita yang telah berjasa dan berkorban untuk negara dan umat manusia.

Sebenarnya wanita bukan hanya bergelar ibu, isteri, anak, saudara, rakan, guru, pekerja, usahawan atau pemimpin, mereka juga pencetus kepada reformasi selari dengan peredaran zaman dan teknologi.

Pengiktirafan dunia terhadap wanita mampu diperkasa dengan adanya reformasi dalam institusi bagi mengiktiraf bakat dan peranan mereka mendepani cabaran semasa. Foto Instagram Andre Lai

Wanita adalah separuh daripada dunia dan tanpa wanita, dunia tidak akan lengkap harmoni malah ia mampu mencetuskan huru-hara akibat diskriminasi berterusan terhadap mereka contohnya beberapa negara di benua Afrika.

Seawal pembentukan tamadun dunia moden, peranan wanita jelas telah menyumbang dan mengubah lanskap perubahan dunia perubatan dan teknologi moden. Tanpa Marie Curie, tidak adanya X-Ray. Tanpa Florence Nighringale, tidak ada ketatasusilaan jururawat moden.

Ada pepatah moden menyebut, bahawa setiap lelaki yang berjaya pastinya ada wanita yang mendukungnya. Wanita hari ini, tidak lagi perlu menuntut hak saksama malah mereka layak atas merit dan pencapaian masing-masing.

Tanpa disedari, wanita sebenarnya telah bergerak ke hadapan menggapai impian mencabar potensi diri mereka sendiri namun ada ketika tidak dihargai kerana tiada platform tertinggi buat mereka mempamer kemampuan yang mereka miliki.

Figura seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau Kak Wan, Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN dan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN (bekas MP Wangsa Maju) yang juga mentor saya telah menjadi inspirasi kepada ramai ahli politik hari ini.

Tidak dilupakan, ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dan seniwati tersohor Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail sebenarnya lebih awal mencorak inspirasi masyarakat dengan kejayaan yang segar diingati sehingga ke hari ini.

Mungkin kedengaran agak klise namun Hari Wanita Sedunia 2024 ini pasti akan menjadi satu hari yang bermakna dan bersejarah bagi semua wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.

Saya mengharapkan bahawa seluruh masyarakat akan terus menjulang serta memberdayakan wanita dan dengan itu, kita akan dapat menjadikan negara lebih adil, gemilang dan sejahtera.

Paling penting, seluruh institusi sewajarnya mampu  mereformasikan peranan wanita agar bakat, kemampuan, inovasi dan sumbangan mereka bukan saja diiktiraf negara malah dikenang dunia sepanjang zaman.

‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang!’

Lai Chen Heng
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *