RCI Tabung Haji: Tujuh Daripada 14 Pelaburan Bermasalah Rugi 100 Peratus

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Sebanyak tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian 100 peratus, dedah Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan II ketika menggulung perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait TH berkata, TH juga terpaksa menanggung kerugian dianggarkan hampir RM13 bilion disebabkan 14 pelaburan bermasalah itu.

Amir Hamzah berkata, punca utama masalah ini disebabkan salah laku kewangan dan pelaburan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.

“Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun, sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu.

“Perakaunan umpama termometer. Ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda.

“Yang mesti dirawat ialah penyakitnya, pelaburan yang hilang nilai, risiko yang tidak terkawal tanpa proses membuat keputusan yang lemah,” katanya.

Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat setelah gagal menghalang Speaker, Tan Sri Johari Abdul meneruskan sesi perbahasan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos 2026.

Menerusi penggulungannya, Amir Hamzah turut memberikan contoh satu daripada tujuh pelaburan TH yang telah rugi 100 peratus.

Beliau berkata, kerugian terbesar dihadapi TH membabitkan pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi.

“Melalui perjanjian pajakan 2015 sehingga 2017, TH membayar 1.4 bilion Riyal atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penginapan jemaah haji.

“Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel dan berjanji membayar sewa 2.49 bilion Riyal kepada TH. Malangnya, bayaran tersebut gagal dilunaskan,” katanya.

Amir Hamzah turut mempersoalkan kepimpinan TH pada waktu itu yang dilihat berani membuat bayaran pendahuluan dengan jumlah besar melebihi RM1.5 bilion.

“Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi. Sebagaimana rekod RCI menyatakan, Jabatan Pengurusan Risiko TH ada meminta jaminan bank tetapi Al-Rawda gagal sediakan.

“Laporan ‘due diligence’ (semakan terperinci) juga tidak lengkap. Namun kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *