Raymond Goh Kritikal Akibat Serangan Angin Ahmar

Penyampai bersuara emas Nightline TV3, Raymond Goh kini kritikal di Hospital Assunta Petaling Jaya. Foto Facebook Abdullah Pak Lah MY
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Penyampai slot berita Nightline terbitan TV3, Raymond Goh dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar.
Goh yang dikenali sebagai penyampai berita bersuara ’emas’ dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran, dimasukkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya, selepas diserang angin ahmar, lapor NST Online.

Berita mengenai keadaan kesihatan Goh dikongsi individu dikenali sebagai Abdullah Pak Lah, melalui hantaran Facebook (FB).
Dalam entri itu, Abdullah yang dibimbing Goh dalam komunikasi lisan, memberitahu, penyampai berita itu berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar.
“Goh adalah antara individu baik hati dan berjiwa mulia yang pernah saya kenali,” katanya yang turut meminta orang ramai mendoakan agar Goh cepat sembuh.
Baru-baru ini, penyertaan Goh dalam kempen #BacaBeritaChallengeTV3 melalui platform TikTok menarik perhatian netizen, yang rata-rata merindukan suara ’emas’ Goh di stesen televisyen (TV) itu.
