Amirudin Saman Sanusi RM10 Juta Didakwa Memfitnah

Amirudin failkan saman terhadap Muhammad Sanusi RM10 juta atas fitnah berkenaan projek pembersihan Sungai Klang. Foto Arkib
SHAH ALAM, 31 Ogos – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyaman Muhammad Sanusi Md Nor kerana memfitnah selepas menteri besar Kedah itu mendakwanya terlibat dalam kontroversi berkait projek pembersihan Sungai Klang.
Menurut dokumen yang dikeluarkan semalam, Amirudin memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menerusi program “Jelajah Mega PN Terbaik Sayangi Kedah Sejahtera” di Jitra pada 2 Ogos, Sanusi mendakwa Amirudin akan memberikan 600 hektar tanah kepada ahli perniagaan Vincent Tan, yang didakwa berhasrat membangunkan projek bernilai RM10 bilion.
Amirudin mengeluarkan surat tuntutan kepada Sanusi pada 9 Ogos, menuntutnya memohon maaf dalam tempoh 48 jam, serta ganti rugi RM10 juta.
Sementara itu, Vincent memfailkan saman serupa terhadap Sanusi.
Peguam mewakili hartawan itu mengeluarkan surat menuntut permohonan maaf serta ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.

Menurut Amirudin, dakwaan Sanusi itu membayangkan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya dalam menyebabkan 242.8 hektar tanah negeri bernilai RM10 bilion dihadiahkan secara percuma kepada syarikat Tan, Berjaya Land Berhad.
Hujahnya lagi, Sanusi dengan semberono mengeluarkan dakwaan palsu “bermotifkan politik” berniat untuk “memburukkannya” menjelang PRN 12 Ogos.
Terdahulu, Amirudin menyifatkan dakwaan Sanusi itu sebagai percubaan terdesak untuk mengalih persepsi selepas gagal menjawab pelbagai dakwaan berkaitan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
