Raya 2026: Insentif RM1,000 Kepada Pengurus, Penolong Pengurus NADI – Fahmi

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil mengacau bubur lambuk ketika hadir ke Majlis Bazar Raya NADI di NADI PPR Kerinchi di sini pada 7 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan bersetuju memberikan insentif khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 2,196 pengurus dan penolong pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sumbangan sekali beri itu merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap kumpulan berkenaan.
“Sebelum ini, mereka tidak pernah menerima sebarang insentif sempena Aidilfitri atau mana-mana festival. Saya berasa terpanggil untuk memastikan mereka yang bekerja enam hari seminggu ini diberikan penghargaan.

“Tahun ini sebagai tanda kasih dan penghargaan, kita minta dan telah diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mereka dapat bonus sebanyak RM1,000.
“Ini pertama kali dalam sejarah NADI dan SKMM,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bazar Raya NADI.
Inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing serta merancakkan ekonomi komuniti menjelang Aidilfitri.
“Lebih 10,000 usahawan dijangka menyertai penganjuran Bazar Raya NADI 2026, yang turut menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
