Rasuah Tender: SPRM Sahkan Tiga, Empat Pengawai Tertinggi ATM Akan Didakwa

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika sidang media khas di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 15 Januari 2026. Foto Faiz Alif Zubir
PUTRAJAYA, 15 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga atau empat pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka didakwa di mahkamah pada minggu hadapan melibatkan kes rasuah membabitkan tender perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka siap seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya Isnin depan.
“Kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas dua individu berkaitan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, bekas pegawai tertinggi ATM dibebaskan daripada tahanan reman pada Isnin lalu, manakala kedua isterinya turut dilepaskan selepas tamat proses reman.

Dalam pada itu, Azam berkata, siasatan melibatkan beberapa pegawai kanan ATM yang sedang dilaksanakan ketika ini diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi selain perlu diberi keutamaan disiapkan segera.
Azam berkata, pihaknya juga mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan siasatan berkenaan diselesaikan secepat mungkin.
“Hal ini memandangkan sensitiviti kes tersebut serta kepentingan maklumat kepada orang awam.
“Saya dengan rendah hati menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau juga tidak menerima sebarang arahan atau direktif daripada mana-mana pihak sepanjang siasatan dijalankan.
“Setiap kes mempunyai keunikan tersendiri dan tidak boleh disamakan antara satu sama lain.
“Dalam kes ini, tanggungjawab itu terletak kepada saya dan saya sendiri telah mengklasifikasikannya sebagai kes berprofil tinggi yang memerlukan tindakan segera kerana rakyat perlu mengetahui status sebenar kes ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

