Ramanan Seru Pengundi Kuala Kubu Baharu Jangan Mudah Percaya Taktik Fitnah

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan bersama media pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Parlimen Sungai Buloh. Foto Bernama

SUNGAI BULOH, 28 Apr – Pengundi Kuala Kubu Baharu diharap tidak terpengaruh dengan taktik pihak lawan yang menyebarkan fitnah, demi meraih sokongan dan undian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, berkata pengundi perlu lebih berhati-hati, dan sentiasa menyemak fakta apabila mendengar kempen politik yang dilakukan pihak lawan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata sedemikian selepas timbul isu klip video memaparkan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao mengkritik Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pengundi pelbagai bangsa seharusnya tidak terpengaruh dengan fitnah dan penipuan yang disebarkan terutamanya dalam tempoh berkempen.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan bersama media pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Parlimen Sungai Buloh. Foto Bernama

“Adalah sangat penting dan kritikal untuk pengundi mendengar maklumat yang tepat. Sekarang, (maklumat) yang disebarkan semuanya fitnah serta bohong. Video lama juga dipaparkan untuk menjalankan kempen yang kotor.

“Saya harap kita jalani kempen yang bersih. Saya juga berharap pengundi bukan saja India, malah pengundi Cina dan Melayu juga jangan terambil (terpengaruh) dengan fitnah yang disebarkan.

“Ambil maklumat yang keluar di surat khabar serta media yang diiktiraf dan bukan kita tengok di media sosial sahaja,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, berkata video calon Kuala Kubu Bharu adalah dari November 2022, yang diambil ketika kempen PRU15 di Kulai, Johor.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan bebas.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *