Rakyat India Selesai Mengundi Selama Enam Minggu

Pengundi beratur di Wasseypur di negeri Jharkhand 25 Mei lalu bagi memilih kerajaan India baharu selepas parlimen dibubarkan enam minggu lalu. Foto AFP
MUMBAI, 1 Jun – Pilihan raya umum (PRU) India memasuki hari terakhir hari ini selepas berlangsung selama enam minggu, dengan bandar suci, Varanasi yang diwakili Perdana Menterinya, Narendra Modi, antara bandar terakhir menyelesaikan proses pengundian.
Modi, yang menerajui Parti Bharatiya Janata (BJP), diramal mempertahankan jawatannya bagi penggal ketiga dengan keputusan bakal diumumkan Selasa depan.
Modi, yang mendapat sokongan majoriti rakyat India, dilihat berjaya membawa imej dan mewujudkan semangat nasionalisme Hindu yang agresif.
Varanasi, yang juga kawasan Parlimen pemimpin berusia 73 tahun itu, adalah antara bandar terakhir bagi sesi pembuangan undi PRU India, di mana sokongan orang ramai terhadap penjajaran agama dan politik Modi semakin kukuh.
Parti pimpinannya, BJP, memerintah melalui dua kemenangan besar pada PRU 2014 dan 2019, dengan sebahagian besar sokongan majoriti penganut Hindu.
Penganalisis sekian lama menjangkakan Modi bakal menewaskan pakatan pembangkang, yang pada ketika itu tidak menamakan calon dipersetujui untuk jawatan perdana menteri.

Prospeknya diperkukuhkan lagi dengan beberapa siasatan jenayah terhadap pihak pembangkang termasuk siasatan cukai pada tahun ini yang menyaksikan akaun bank parti Kongres (Kongres), parti pembangkang terbesar India, dibekukan.
Proses pengundian dibuat secara berperingkat dalam tujuh fasa bagi tempoh enam minggu, bertujuan meringankan beban logistik yang besar untuk mengadakan PRU di negara yang memilik penduduk paling ramai di dunia.
Pengiraan undi dan keputusan dijangka dibuat pada Selasa ini, bagaimanapun jumlah undian yang dikeluarkan selepas proses itu ditutup hari ini dijangka memberi petunjuk parti mana yang bakal memenangi PRU terbabit.
Peratusan keluar mengundi menurun beberapa mata berbanding tinjauan nasional terakhir pada 2019, dengan penganalisis melihat ia berpunca daripada jangkaan meluas mengenai kemenangan Modi serta gelombang panas yang melanda negeri di utara India.
Penyelidikan saintifik menunjukkan perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih panjang, dan kerap dengan pemanasan di Asia lebih cepat daripada purata global.
Suhu di Varanasi dijangka memuncak pada 44 darjah Celsius semasa pengundian peringkat akhir berlangsung hari ini. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


