Malaysia Perlu Ambil Pendekatan Rasional Tarik Diri Daripada Rimpac – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara penarikan diri daripada Rimpac itu perlu dipertimbang dengan teliti selain melihat potensi implikasinya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
LABUAN, 31 Mei – Malaysia perlu mengambil pendekatan rasional terhadap desakan beberapa badan bukan kerajaan agar negara menarik diri daripada menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa yang dipimpin oleh Amerika Syarikat kerana ia turut menyaksikan penglibatan tentera Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu dipertimbang dengan teliti selain melihat potensi implikasinya.
“Pendirian kita adalah tegas; tiada negara lain yang selantang Malaysia mengenai isu Israel …kita menunjukkan bantahan setiap hari.

“Justeru itu, kita harus bertindak dengan berhati-hati dan bukan didorong oleh perasaan marah… malah semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dahulu, sebuah kapal Israel telah berlabuh di pelabuhan kita.
“Apabila kami mengambil alih kerajaan, kami adalah pihak yang menghalang kapal Israel memasuki pelabuhan negara meskipun berdepan kritikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di Terminal Feri Roll-on Roll-off Labuan di sini hari ini.

Anwar juga berkata tindakan kerajaan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan rakyat dan perdagangan.
“Jika kami mengikut setiap pendekatan yang dicadangkan, kami terpaksa menghentikan operasi syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook.
“Malaysia akan terus bersuara lantang bagi menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Semalam, 15 kumpulan yang diketuai oleh pergerakan global anti-Israel di Malaysia iaitu Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Malaysia agar menarik diri serta-merta daripada Eksesais Rim of the Pacific Exercise (Rimpac) yang dijadual berlangsung dari 26 Jun hingga 2 Ogos ini.
Sebelum ini media melaporkan, Rimpac 2024 merupakan eksesais maritim terbesar dunia yang diadakan dua tahun sekali di Hawaii dan Amerika Syarikat akan diadakan hujung bulan Jun ini.
Tentera Laut Israel mula menyertai latihan Rimpac pada 2018 tetapi masih belum menghantar kapalnya untuk menyertai latihan itu.
Rimpac 2024 akan diadakan bermula 26 Jun hingga 2 Ogos, melibatkan 29 negara, 40 kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan tentera darat, lebih 150 pesawat dan lebih 25,000 anggota.
Dalam pada itu, TLDM turut memaklumkan bahawa KD Lekiu telah meninggalkan pangkalannya di Lumut untuk menyertai Rimpac 2024.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
