Rakyat Diharap Tidak Lupa Jasa, Sumbangan Perwira Pertahan Kedaulatan Negara – Halim Khomiza

Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) Datuk Halim Khomiza menggesa rakyat mengenang jasa dan sumbangan perwira dalam mempertahankan kedaulatan negara. Foto Facebook PVPNM

KUALA LUMPUR, 31 JulRakyat diharap agar tidak melupakan segala jasa dan budi perajurit dan pahlawan yang berkorban demi keamanan negara sehingga membolehkan mereka dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan negara sekarang.

Ini ditegaskan Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) Datuk Halim Khomiza yang berkata, rakyat perlu menjadi warganegara yang mengenang jasa pahlawan sama ada yang sedang berkhidmat dalam pasukan mahupun yang terkorban sejak zaman negara memperjuangkan kemerdekaan.

Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) Datuk Halim Khomiza ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PVPNM ke-5 baru-baru ini. Foto Facebook PVPNM

Menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024 yang diraikan hari ini, beliau berkata rakyat perlu memiliki sikap menghargai jasa dan mengenang segala pengorbanan pejuang negara kerana tanpa sumbangan mereka, negara tidak akan dapat mengecapi nikmat seperti hari ini.

“Sudah pasti jasa dan pengorbanan wira negara menjaga keamanan yang diperjuangkan menuntut kita sama-sama bertanggungjawab memacu kemajuan negara tanpa memikirkan perbezaan bangsa dan keturunan.

Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) Datuk Halim Khomiza menyampaikan sumbangan kepada ahli persatuan yang ditimpa ujian kesihatan sempena Mesyuarat Agung PVPNM kali ke-5 baru-baru ini. Foto Facebook PVPNM

“Saya mewakili PVPNM menyeru segenap lapisan masyarakat agar mengenang jasa dan sumbangan mereka bukan sekadar mengingati Hari Pahlawan tetapi menerapkan semangat cintakan tanah air dalam jiwa masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah rakyat juga perlu mengamalkan semangat perjuangan pahlawan kerana bukan suatu yang mudah mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sejak merdeka pada 31 Ogos 1957.

“Penerapan semangat perjuangan dalam mengharungi cabaran global menuntut setiap daripada kita menghayati enam konsep Malaysia MADANI yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa Malaysia menjadi kuasa besar ekonomi dunia seperti Korea Selatan, Jepun dan China,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Pahlawan 2024 kepada semua perajurit negara sambil mendoakan mereka diberi kekuatan mendepani cabaran semasa.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *