Raja Dadah Dicekup: Edaran Dadah Thailand Susut 70 Peratus

Suspek ‘Raja Dadah’ warga Malaysia, Ong Gim Wah, yang ditahan di Laos dalam operasi bersama dengan Thailand. Foto Agensi
BANGKOK, 5 Jan – Pihak berkuasa Thailand percaya penahanan seorang warga Malaysia yang sangat dikehendaki baru-baru ini akan mengurangkan pengedaran dadah utama tertentu dalam pasaran negara itu sehingga 70 peratus.
Bangkok Post melaporkan, suspek yang dikenal pasti sebagai Ong Gim Wah itu ditahan atas dakwaan mendalangi pengedaran dadah peringkat antarabangsa
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Laos, tempat di mana dia bersembunyi, dalam operasi bersama Thailand-Laos pada 29 Disember lalu.
Akhbar itu melaporkan, pihak berkuasa Thailand meletakkan ganjaran 1 juta baht (RM134,000) kepada orang ramai untuk menangkapnya.
Gim Wah dikatakan memainkan peranan penting dalam mendapatkan dadah dan menyelaras operasi dengan sindiket dadah di rantau Segi Tiga Emas sejak 2006.
Segi Tiga Emas dikatakan adalah kawasan pergunungan dengan banyak koridor pengedaran dadah yang tidak dapat ditembusi, terletak dalam lingkungan sepadan Thailand, Myanmar dan Laos.
Penolong ketua polis Thailand, Leftenan Jeneral Panurat Lakboon, dipetik sebagai berkata, penahanan Gim Wah boleh mengehadkan perdagangan dadah yang membabitkan kristal methamphetamine, heroin dan kokain sebanyak 70 peratus.

Panurat, yang juga setiausaha agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand, berkata polis turut merampas lebih 4.4 tan pil methamphetamine.
ONCB kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa di Laos untuk mengekstradisi Gim Wah, yang disifatkan sebagai ahli penting sindiket dadah transnasional, ke Thailand.
Gim Wah ialah salah seorang daripada 48 suspek dadah yang dikehendaki Thailand, yang bersembunyi di negara jiran, Laos.
Pejabat ketua polis Laos bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam Thailand untuk menumpaskan dan menangkap suspek, akhirnya membawa mereka ke Thailand bagi menghadapi proses yang sewajarnya di mahkamah.
Penangkapan itu adalah sebahagian daripada kempen menekan sindiket dadah yang diadakan antara Oktober dan Disember tahun lalu.
Ia digerakkan selaras dengan dasar ‘Quick Win’ kerajaan Thailand, dengan sasaran untuk menyelesaikan masalah dadah negara itu dalam tempoh setahun.
Awal minggu ini, Panurat dilaporkan berkata, penyiasat mengenal pasti warga Malaysia itu sebagai suspek utama di sebalik kes dadah utama di wilayah Ratchaburi, Thailand pada Jun tahun lalu.
Ia menyaksikan rampasan 998 kilogram (kg) kristal methamphetamine dan penahanan tujuh suspek.
Waran tangkap kemudian dikeluarkan untuk Gim Wah pada Ogos tahun yang sama.
Pihak berkuasa Thailand kemudian merampas aset mewah lelaki Malaysia itu, yang tersebar di seluruh Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.
Antaranya termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain.
Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas dilaporkan berjumlah 85 juta baht (RM11.4 juta). – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
