Empat Pejuang Termasuk Ketua Hizbullah Terkorban Diserang Rejim Zionis

Empat pejuang Hizbullah terbunuh malam tadi di selatan Lubnan, dalam serangan Israel ke atas bandar sempadan Naqura. Foto Agensi
BEIRUT, 4 Jan – Empat pejuang Hizbullah terbunuh malam tadi di selatan Lubnan, dalam serangan Israel ke atas bandar sempadan Naqura.
Menurut sumber yang rapat dengan kumpulan berkuasa itu, kematian berkenaan meningkatkan lagi ketegangan serantau ketika perang masih berlarutan di Gaza.
Hizbullah dalam satu kenyataan, berkata empat pejuang itu terbunuh dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, satu frasa yang digunakannya untuk mengumumkan kematian anggotanya akibat tembakan Israel sejak pertempuran Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kumpulan itu tidak mengulas lanjut, tetapi sumber yang rapat dengan Hizbullah memberitahu AFP bahawa keempat-empat mereka terbunuh di Naqura berhampiran sempadan Israel, sambil menambah bahawa salah seorang daripada mereka adalah ketua tempatan pergerakan itu.
Agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan, berkata pesawat Israel mengebom pusat Naqura, yang memusnahkan sebuah rumah dan merosakkan rumah lain di sekitarnya.
Hizbullah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan tentera Israel sejak 8 Oktober, sehari selepas serangan Hamas mencetuskan kempen ketenteraan Israel yang sengit terhadap kumpulan bersenjata Palestin, yang juga disokong oleh Iran, di Semenanjung Gaza.

Kumpulan Lubnan semalam mengumumkan kematian lima lagi pejuang di selatan Lubnan.
Hampir tiga bulan sejak serangan tembakan merentas sempadan menyebabkan 175 orang di Lubnan maut, termasuk 129 pejuang Hizbullah, menurut pengiraan AFP.
Di utara Israel, Hizbullah menyasarkan kedudukan tentera berhampiran sempadan dengan sembilan askar dan lima orang awam terbunuh, menurut pihak berkuasa Israel.
Pada Selasa, serangan Israel menyebabkan kematian timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri, dan enam yang lain di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut.
Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) memberitahu AFP, Israel berada di belakang serangan itu.
Arouri ialah tokoh Hamas paling kanan yang terbunuh ketika perang dan kematiannya berlaku dalam serangan pertama ke atas ibu negara Lubnan sejak permusuhan bermula.
Pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah memberi amaran kepada Israel dalam satu ucapan semalam supaya tidak memulakan perang di Lubnan, sambil memberi jaminan pergerakannya akan berjuang tanpa had.
Beberapa tokoh Hamas dalam buangan tinggal di Lubnan, di bawah perlindungan Hizbullah.
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober yang menyebabkan kira-kira 1,140 maut di Israel, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Serangan Israel ke atas Gaza membunuh 22,313 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
