Raiyan Sokong Saranan Rafizi Ubah Pendekatan Subsidi, Ambil Kira Perspektif Gender

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Saranan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli pada Selasa agar kerajaan pusat mengubah pendekatan dan takrifan berkenaan subsidi termasuk klasifikasi B40, M40 dan T20 disokong penuh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Raiyan Abdul Rahim.

Dalam kenyataan media yang disiarkan pada Rabu, seperti yang disebut oleh beliau, Raiyan berpandangan mengklasifisikan B40, M40 dan T20 tidak memadai dan tidak dapat memastikan subsidi akan diagihkan mengikut sasaran selain perlu juga mengambil kira kos perbelanjaan dan tanggungan setiap isi rumah.


“Saya menyahut dengan baik saranan dari Saudara Rafizi Ramli semalam, supaya negara kita mengubah pendekatan berkenaan subsidi.

“Seperti yang disebut oleh beliau, mengklasifisikan B40, M40 dan T20 tidak memadai dan tidak dapat memastikan subsidi akan diagihkan mengikut sasaran. Oleh kerana itu, kita perlu juga mengambil kira kos perbelanjaan dan tanggungan setiap isi rumah,” katanya.


Mengulas lanjut, Raiyan menambah, dalam usaha kita untuk memahami keperluan golongan sasaran, kerajaan juga mesti ada perspektif terhadap gender.

Ini kerana perspektif gender bermaksud kerajaan perlu memahami dan mengiktiraf bahawa lelaki dewasa, wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan semua mempunyai keperluan yang berbeza.

“Sekiranya subsidi ditentukan berdasarkan perbelanjaan setiap isi rumah, kita juga perlu sedar dan faham bahawa perbelanjaan pasti akan berbeza mengikut gender penghuni rumah tersebut.,” ujar beliau lagi.

Berikut merupakan kenyataan media penuh:

20 Julai 2022
Kenyataan Media

SUBSIDI DARI LENSA GENDER


Saya menyahut dengan baik saranan dari Saudara Rafizi Ramli semalam, supaya negara kita mengubah pendekatan berkenaan subsidi. Seperti yang disebut oleh beliau, mengklasifisikan B40, M40 dan T20 tidak memadai dan tidak dapat memastikan subsidi akan diagihkan mengikut sasaran. Oleh kerana itu, kita perlu juga mengambil kira kos perbelanjaan dan tanggungan setiap isi rumah.

Subsidi boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan berlainan cara; namun objektifnya mestilah samada untuk mengurangkan beban ataupun memenuhi keperluan golongan yang kita mahu bantu. Dalam usaha kita untuk memahami keperluan golongan sasaran, kita juga mesti ada perspektif gender.


Perspektif gender bererti kita memahami dan mengiktiraf bahawa lelaki dewasa, wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan semua mempunyai keperluan yang berbeza. Dalam usaha untuk menggubal dasar subsidi yang tepat, tidak memadai untuk melihat pendapatan setiap isi rumah tanpa mengambil kira perbezaan atau keterbatasan yang wujud kerana elemen gender.

Sekiranya subsidi ditentukan berdasarkan perbelanjaan setiap isi rumah, kita juga perlu sedar dan faham bahawa perbelanjaan pasti akan berbeza mengikut gender penghuni rumah tersebut. Rumah yang mempunyai lebih ramai anak perempuan perlu berbelanja lebih untuk kesihatan dan kebersihan; itu tidak bermakna barang dapur atau makanan adalah kurang penting. Ia cuma bermaksud bahawa keluarga tersebut perlu meletakkan keutamaan kerana terperangkap dalam kemiskinan.


Dalam mengambil kira pendapatan ataupun tanggungan isi rumah, kita perlu juga melalui lensa gender dimana rumah yg diketuai oleh lelaki dan wanita, pasti akan mempunyai cabaran yang berbeza. Sekiranya “Ketua” adalah wanita, status beliau sebagai ibu tunggal atau ibu tinggal juga boleh meletakkan beliau dan anak-anak beliau dalam keadaan yang memerlukan lebih bantuan.

Secara keseluruhannya, dalam usaha untuk menentukan dasar subsidi yang terbaik untuk negara, kita mestilah juga memahami keperluan dari konteks gender. Ini demi memastikan keperluan golongan yang paling tertindas dan paling terdedah akan menerima bantuan dan subsidi yang sewajarnya.

Raiyan binti Abdul Rahim
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Parti Keadilan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *