Rafizi, Nik Nazmi Akan Buat Laporan Polis Ke Atas Najib Jam 11 Pagi Ini

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mengerahkan kempen laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengenai dakwaan kecuaian berkaitan tuntutan waris kesultanan Sulu.

Beliau dijangka memulakan kempen tersebut bersama Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang akan memfailkan laporan polis masing-masing pada jam 11 pagi ini di Balai Polis Setiawangsa, di sini.


Rafizi turut meminta cabang-cabang dan pimpinan KEADILAN seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Sulu.

Beliau turut memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi dari parti Amanah dan DAP untuk membuat perkara sama.

“Hari Selasa dipilih untuk mengingatkan Najib janjinya untuk menyaman Wall Street Journal mengenai skandal 1MDB, tetapi tidak pernah berlaku,” katanya dengan menyertakan draf laporan polis berkenaan di Twitter beliau.


Ketika berucap dalam perhimpunan agung KEADILAN di Shah Alam pada Ahad, Rafizi menggesa laporan polis dibuat terhadap Najib berkaitan dakwaan waris kesultanan Sulu untuk pampasan berjumlah berbilion ringgit kerana menyerahkan kedaulatan ke atas Sabah.

Susulan itu, Najib mencabar ahli KEADILAN membuat laporan polis terhadapnya setiap kali beliau didakwa berbohong di media sosial dan berkata beliau tidak sesekali takut.

Media melaporkan Waris kesultanan Sulu melalui merampas dua anak syarikat Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, minggu lalu.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berkata, perintah itu tidak sah manakala Petronas menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *