Rafizi Ketuai Jentera PRU-15 KEADILAN

PETALING JAYA, 21 Jul – Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim memberitahu bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pengarah pilihan raya parti, berikutan Timbalan Presiden itu dilantik mengetuai pasukan perang pilihan raya pada mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bagi sesi 2022-2025, malam tadi.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang, berkata Rafizi akan dibantu beberapa Naib Presiden dan pengarah pilihan raya yang lalu, Fuziah Salleh.


“Rafizi akan diberi wewenang (kuasa untuk berbuat sesuatu) untuk bergerak secepat mungkin untuk memperkuatkan jentera pilihan raya parti.

“Mesyuarat pertama MPP ini membincangkan soal dan dasar hala tuju parti dan sebagainya.

“Kita bermula dengan menyusun barisan kepimpinan yang baharu, selain yang sudah diberikan mandat dalam pemilihan parti seperti diumumkan pada Kongres Nasional KEADILAN 2022 yang berakhir Ahad lalu,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Mesyuarat berkenaan berlangsung selama 1 jam 30 minit berakhir kira-kira jam 10 malam yang diadakan di ibu pejabat parti di sini.

Turut hadir, Naib-Naib Presiden yang menang dalam pemilihan parti iaitu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Seorang lagi Naib Presiden iaitu Amirudin Shari tidak dapat hadir kerana berada di luar negara atas urusan rasmi Kerajaan Selangor.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bagi naib-naib presiden, Perlembagaan Parti memperuntuk tiga pelantikan termasuk seorang yang mewakili Sabah dan Sarawak.

“Justeru saya mencadangkan pelantikan Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) KEADILAN, K Saraswathy dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari sebagai Naib Presiden.


“Saifuddin Nasution Ismail kita beri meneruskan tugas Setiausaha Agung, manakala Bendahari Agung pula ialah William Leong.

“Ketua Setiausaha Pengelola, iaitu jawatan yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti mesti dilantik dalam kalangan ahli MPP, iaitu Zahir Hassan dari Wilayah Persekutuan,” katanya.

Katanya, mesyuarat MPP juga melantik lima ahli MPP yang juga dilantik kali ini dan dipersetujui iaitu Manivannan Gowindasamy, tokoh lama bergerak dalam parti, Christina Liew dari Sabah (Ahli Parlimen Tawau), Rodziah Ismail (Exco Selangor lama berkecimpung dalam kegiatan wanita.

“Turut dilantik Abun Sui Anyit dari Sarawak dan seorang tokoh muda dari Johor yang bergerak aktif dalam AMK, walaupun dia sekarang Ketua Cabang Tebrau, R Yusneswaran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *