MP Parit Pengerusi SPNB Baharu, BN Menang, Siapa Yang Senang?

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Pelantikan Ahli Parlimen Parit dua penggal, Mohd Nizar Zakaria sebagai pengerusi bukan eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) berkuat kuasa 15 Julai lalu sudah pasti menambah lagi tekanan terhadap Ismail Sabri Yaakob yang seolah tidak belajar daripada kesilapan terdahulu.
Difahamkan Nizar akan menggantikan Adun Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha, yang menduduki jawatan itu sejak 2 April tahun lepas.
Haniza dipecat daripada KEADILAN pada Jun 2020.
Dia kini adalah timbalan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang menyokong Perdana Menteri dalam kerajaan campuran paling rapuh dalam sejarah negara
Dalam satu kenyataan, SPNB berkata pelantikan baru itu akan membantu SPNB mencapai tahap yang lebih tinggi.
SPNB ialah pemaju perumahan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Syarikat itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 3 Ogos 2018 apabila menterinya ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida ialah bakal presiden atau “president-designate” PBM.
Beberapa pengamat politik menyifatkan pelantikan Nizar akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dari segi politik kerana dasar Ismail Sabri masih tidak berubah dengan cuba mentransformasikan pentadbirannya yang dilihat amat lemah.
Ini membolehkan PH menyerang Ismail Sabri setelah MKT Umno sendiri sudah membuat keputusan bahawa MoU antara kerajaan dan PH tidak akan disambung selepas 31 Julai ini.
Kesempatan ini seharusnya diambil oleh pimpinan PH untuk terus mengasak Ismail Sabri yang mula menyusun ‘orang-orangnya’ menjelang pemilihan Umno yang dijangka Disember ini, tertakluk kepada keputusan pindaan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat.
