PRU Sabah: Calon PH DUN Karamunting Yakin Pada Rekod Khidmat

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Karamunting, George Hiew Vun Zin yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Karamunting pada PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November 2025. Foto George Hiew Vun Zin
SANDAKAN, 22 Nov – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata beliau mempertaruhkan rekod perkhidmatannya selama dua penggal menyantuni penduduk kawasan itu dalam mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.
Calon PH daripada KEADILAN itu berkata sokongan padu daripada jentera PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengukuhkan keyakinannya untuk pengundi memilihnya berkhidmat semula di kawasan berkenaan.
“Pada awalnya saya risau juga apabila berpindah (bertanding) daripada (tiket) GRS ke PH, pengundi dan ahli parti tidak boleh menerimanya… tetapi apabila saya turun berkempen, saya lihat pengundi tidak marah.
“Malah, ahli-ahli parti juga boleh menerimanya kerana apa yang penting sekarang adalah memenangi kerusi DUN Karamunting untuk menjadi jambatan antara Sandakan dan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama.
Vun Zin berkata ketika turun ke kawasan, beliau sentiasa menganggap penduduk sebagai ahli keluarganya sendiri dan sedaya mungkin membantu mereka yang menghadapi kesulitan.
Beliau berkata walaupun bertanding atas tiket PH, kepercayaan dan penerimaan rakyat terhadapnya kekal baik kerana mereka lebih menilai perkhidmatannya sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

PRU Sabah kali ini, katanya penting untuk memastikan Sabah dipimpin kerajaan yang mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan agar masalah kemudahan asas yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan secara tuntas.
“Saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) seorang yang berjiwa rakyat, memahami kesusahan rakyat Sabah dan komited membawa perubahan.
“Jadi, saya minta rakyat Sabah, beri sokongan penuh agar kita dapat melaksanakan lebih banyak projek pembangunan, menarik pelaburan antarabangsa dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Vun Zin berkata hasrat KEADILAN bertanding 10 kerusi jelas menunjukkan kesediaan Perdana Menteri untuk bersama-sama membentuk kerajaan negeri dengan gabungan parti lain yang berkongsi hala tuju sama, iaitu memajukan Sabah.
Beliau juga mahu memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disedikan di Sabah agar golongan belia tidak perlu berhijrah ke luar untuk mendapatkan pekerjaan.
“Saya mahu anak-anak kita kembali dan membangunkan Sabah. Dengan kerajaan (negeri) yang stabil dan dengan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, saya yakin masa depan Sabah lebih cerah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU Sabah ke-17 manakala 25 November bagi pengundian awal.
N54: KARAMUNTING: SABAH: 19,615
Wong Tshun Khee (Warisan)
Datuk George Hiew Vun Zin (PH-KEADILAN)
Datuk Chin Kim Hiung (BN-MCA)
Datuk Chew Kok Woh (KDM)
Soo Ming Soon (PIS)
(2020: George Hiew Vun Zin: Warisan Plus-GRS: Majoriti: 2,479)
(Kini: PH-KEADILAN)
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

