Protes Pro-Palestin Merebak Serata Universiti Di Amerika Syarikat

Pelajar Universiti Columbia di New York, Amerika Syarikat (AS) mendirikan khemah di perkarangan kampus ketika bantahan pro-Palestin kini merebak ke seluruh negara itu. Foto AFP

AUSTIN, 25 Apr – Protes pro-Palestin yang menggegarkan universiti di seluruh Amerika Syarikat (AS) merebak ke lebih banyak kampus, sehingga ada pemimpin kanan Republikan mengesyorkan Pengawal Kebangsaan (National Guard) dipanggil bagi mengawal keadaan.

Cadangan oleh Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson, itu mungkin membangkitkan emosi yang kuat di negara itu kerana sudah berlaku tragedi maut membabitkan Pengawal Kebangsaan menyerang pelajar tidak bersenjata ketika protes perang Vietnam pada 1970.

Semalam, demonstrasi tercetus di Universiti California Selatan dan di Texas, di mana perselisihan tegang berlaku antara pelajar dan polis, dengan lebih daripada 20 orang ditahan.

Ia adalah ketegangan terbaharu antara penguatkuasa undang-undang dan pelajar yang marah dengan peningkatan jumlah kematian dalam perang Israel di Gaza.

Pergerakan itu bermula di Universiti Columbia di New York di mana puluhan pelajar ditangkap minggu lalu selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis susulan dakwaan pelajar Yahudi bahawa protes itu mengancam dan berunsur anti-Semitik.

Pelajar Universiti Columbia di New York, Amerika Syarikat (AS) mendirikan khemah di perkarangan kampus ketika bantahan pro-Palestin kini merebak ke seluruh negara itu. Foto AFP

Johnson berkata demikian kepada wartawan di Columbia dengan menegaskan, sekiranya demonstrasi itu tidak dibendung dengan cepat, ia akan menjadi ‘masa yang sesuai untuk Pengawal Kebangsaan dipanggil’.

Beliau juga berhasrat untuk menuntut Presiden AS, Joe Biden ‘mengambil tindakan’ dan memberi amaran bahawa demonstrasi itu ‘menyasarkan pelajar Yahudi di AS’.

Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre pula berkata, Biden menyokong kebebasan bersuara.

“Presiden percaya bahawa kebebasan bersuara, perdebatan dan tanpa diskriminasi di kampus kolej adalah penting,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, polis diletakkan di lokasi protes di Los Angeles selepas ratusan pelajar mula menduduki kampus Universiti California Selatan.

Pihak berkuasa memantau keadaan ketika protes pro-Palestin diadakan di Universiti Texas di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) yang kini mendapat sambutan di kampus seluruh negara itu. Foto AFP

Pelajar melaungkan ‘Bebas Palestin Bebas’ serta slogan kontroversi ‘dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’ yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menyeru kemusnahan negara Israel.

Pelajar juga melancarkan protes di institusi pengajian lain termasuk Universiti Yale, Institut Teknologi Michigan (MIT), Kolej Universiti Berkeley, Universiti Michigan dan Brown.

Imej media sosial menunjukkan perkhemahan pelajar didirikan di Universiti Harvard.

Setakat ini, lebih 130 orang ditangkap dalam protes pro-Palestin di Universiti New York dan polis di Universiti Minnesota juga dilaporkan menahan sembilan orang di sebuah tapak perkhemahan dalam kampus.

NBC melaporkan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini sedang menyelaraskan dengan universiti berhubung ancaman anti-Semitik dan kemungkinan keganasan juga berlaku.

Pelajar Universiti Harvard mula mendirikan khemah bagi dijadikan pusat membantah perang Israel di Gaza. Foto WBUR News

Pada 1970, demonstrasi di Universiti Negeri Kent di Ohio dilayan dengan kekerasan dan mengakibatkan kematian apabila Pengawal Kebangsaan melepaskan tembakan ke arah orang ramai, membunuh empat pelajar tidak bersenjata dan mencederakan sembilan lagi.

Sebelas hari selepas itu, dua pelajar penunjuk perasaan maut manakala 12 lagi cedera apabila polis melepaskan tembakan di Jackson, Mississippi. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *