PRN 2023: Saifuddin Nasution Sedia Korban Elaun Menteri Bayar Deposit Calon KEADILAN Kedah

Saifuddin Nasution menyerahkan bendera KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai simbolik pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Alor Setar. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail.
ALOR SETAR, 24 Jun – Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa beliau akan membantu membayar wang deposit bagi kesemua calon yang bertanding atas tiket parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Pelancaran Jentera PRN KEADILAN Kedah, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau terinspirasi dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bekerja kuat dan keras tanpa mengambil gaji.
“Jika kita lihat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bekerja cukup kuat dan keras tanpa mengambil gaji. Saya ambil juga gaji dan nak bagitahu bahawa saya akan menggunakan duit elaun sebagai Menteri yang diterima sejak dari bulan Disember tahun lepas untuk membantu untuk membayar deposit bagi calon-calon KEADILAN yang bertanding dalam PRN akan datang sebanyak RM5,000.

“Saya dah kira, InsyaAllah cukup untuk bayar semua. Nanti bila penamaan calon, hanya ambil resit dan tunjuk, tak perlu bayar lagi,” ujar beliau.
Saifuddin turut menambah bahawa deposit tersebut berjumlah RM5,000 dibayar kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak termasuk deposit poster, kempen dan lain-lain.
Beliau menambah sumbangan kecil itu adalah untuk memastikan kemenangan calon-calon KEADILAN pada PRN akan datang di samping menyuntik semangat bagi menggapai kemenangan kelak.
Saifuddin menambah bahawa pada PRN akan datang nanti, beliau bertanggungjawab untuk menjaga serta memantau negeri Kedah bagi memastikan semua yang dirancang dan diatur berjalan dengan lancar.
Beliau mengumumkan perkara berkenaan pada Majlis Peluncuran Jentera KEADILAN Negeri Kedah yang berlangsung di Alor Setar pada petang tadi.
Majlis berjalan penuh bersemangat dan meriah itu turut dihadiri oleh ribuan anggota cabang, pendokong parti, orang awam dan tidak ketinggalan jentera parti yang sama-sama begitu bersemangat untuk memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan PH – BN dalam PRN yang dijangka diadakan sekitar Ogos ini.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dan mana-mana gabungan parti yang memiliki 19 kerusi minimum boleh membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
