PRN 2023: PN Dakwa Bakal Kuasai ‘Lima Negeri’

Apakah insiden tidak bermoral malah dilarang agama ini berulang lagi pada PRN di enam negeri? Foto Arkib.
KOTA BHARU, 25 Jun – Perikatan Nasional (PN) mendakwa mereka dapat menguasai lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung PN mendakwa gabungan itu yakin dapat mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain turut mengambil alih Selangor dan Negeri Sembilan.
“Sebagai Setiausaha Agung, kita buat analisis boleh dikatakan setiap hari oleh pegawai yang dihantar (ke lapangan) dan Insya-Allah Kelantan, Terengganu dan Kedah kita dapat pertahankan.
“Dengan keretakan yang ada di Selangor dan Negeri Sembilan, Insya-Allah PN boleh ambil alih, manakala Pulau Pinang tidak lama lagi dah.
“Justeru, mari kita pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Selangor dan Negeri Sembilan kita akan ambil alih pada PRN ini. Pulau Pinang pula, kita pakat tumbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Kelantan yang dirasmikan Presiden Pas di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan dan Timbalannya.
PN dikatakan kononnya akan mencapai kemenangan besar pada PRN akan datang dengan bantuan jentera yang sudah bersedia dengan gerak kerja.
“Kita akan ‘perang’ habis-habisan, biar lawan gerun dengan jentera kita. Kita pastikan lawan kita dapat kosong (di Kelantan),” katanya.
PN turut menyifatkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai kerajaan ‘flip flop’ atau ‘keluk-kelek’.
“Dia kata tubuh Kerajaan Perpaduan, Alhamdulillah sebab dia nak menyatukan rakyat. Namun, kenyataan yang dikeluarkan banyak bohong dan rakyat tidak mahu dengar.
“Macam hari ini, ringgit jatuh dan saya nak bagi tahu kepada mereka, ringgit jatuh sebab kerajaan tidak tahu menentukan dasar yang dibuat untuk kepentingan rakyat dan pelabur,” katanya.
Namun apakah dakwaan tersebut dilihat benar atau ia satu lagi episod duka dalam PN setelah menolak untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15?
