PRK Sungai Bakap: Kriteria Calon Harus Ambil Kira Faktor Umur, Boleh Menang

Pemimpin muda KEADILAN seharusnya mencontohi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baik dari segi disilplin kerja. pengurusan masa, penyampaian ucapan dan banyak lagi jika mahu menjadi pemimpin negara satu ketika nanti. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 4 Jun – Bahang kehangatan satu lagi pilihan raya kecil makin kuat dirasakan dan kali ini tiba giliran Perikatan Nasional (PN) yang cuba mempertahankan kerusi Dun Sungai Bakap.

Namun begitu, siapa yang akan dipilih sebagai calon masih belum ‘nampak bayang’ sehingga artikel ini ditulis, memberi petanda masalah perebutan calon dalam pakatan pembangkang itu sekali lagi menjadi topik utama.

Apapun biarkan mereka ‘bersilat’ sesama sendiri menentukan siapa yang akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan.

Lazimnya, tradisi lama yang diamalkan sejak sekian lama biasanya calon yang hendak dipilih mengambil kira daripada aspek umur serta kematangan berpolitik.

DUN Sungai Bakap kini menjadi perhatian seluruh negara bagi menguji medan kekuatan semasa antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang yang jelas tidak mampu berbuat apa-apa. Foto Noraini Nordin

Namun sekiranya seseorang individu yang mempunyai pertalian darah dengan pihak pimpinan atasan parti politik ianya dianggap satu ‘kelebihan’ ataupun keistimewaan terhadap individu berkenaan.

Hal ini disebabkan oleh kerana sistem feudal masih berpengaruh di dalam politik kepartian terutamanya yang lazimnya dilakukan oleh parti politik seperti Umno dan Pas.

Faktanya ialah parti politik mempunyai hierarki yang berlapis-lapis dan feudal, yang rata-rata kepimpinan utama atau negeri diterajui oleh pemimpin yang berumur 50 tahun dan ke atas.

PESONA POLITIK

Memandangkan pesona yang lebih tua dan berusia lebih dilihat berwibawa jikalau dibandingkan dengan golongan pemimpin muda di bawah usia 40 tahun ternyata mentah dan cetek pengalaman terutamanya di dalam hal politik kenegaraan dan pentadbiran negara.

Selain faktor politik generasi muda, penyertaan mereka ini di dalam parti politik hendaklah mengambil masa panjang oleh kerana sistem perkaderan parti atau mengikut hierarki berlapis-lapis sebenarnya amat relevan sebelum ianya benar-benar layak dipilih sebagai calon bertanding.

Malah sejak bertahun-tahun kepimpinan eksekutif negeri atau negara yang membuat polisi dan dasar awam telah dimonopoli oleh pemimpin yang dikategorikan sebagai orang tua.

Salah seorang ahli parlimen muda Perikatan Nasional (PN) iaitu Siti Mastura Muhammad menunjukkan contoh buruk apabila disaman atas fitnah terhadap beberapa pemimpin DAP ekoran sikap ‘tibaiyyun’ isu ‘Lim Kuan Yew.

Bahasa mudahnya “orang tua terlebih dahulu makan garam” berbanding orang muda.

GENERASI MUDA TIDAK DISISIHKAN

Sungguhpun begitu, bukanlah bermakna hendak menyisihkan golongan anak muda apatahlagi untuk menolak idea atau cadangan daripada orang muda.

Apa yang diharapkan kepada golongan anak muda perlu menempa nama terlebih dahulu setidak-tidaknya pernah terlibat sebagai seorang pemimpin di peringkat belia, komuniti atau masyarakat kampung barulah boleh diangkat ke peringkat seterusnya yang lebih tinggi.

TERSUNGKUR AKIBAT GELOJOH

Pasa masa sama seseorang pemimpin muda perlu memahami situasi sosio budaya dan persekitaran setempat. Pemimpin muda juga harus proaktif dan bersikap progresif.

Seboleh-bolehnya elakkan daripada hanya pandai memuntahkan retorik kosong atau cadangan-cadangan separuh masak kerana kesannya akan dirasai oleh lapisan rakyat malahan akan dilabelkan masyarakat “cakap tidak serupa bikin”.

Kehancuran imej dan integriti dua ahli parlimen kalangan anak muda dari blok pembangkang menjadi iktibar kepada Kerajaan Perpaduan agar tidak mengulangi kesilapan yang mereka lakukan.

Contoh terdekat yang pernah berlaku ke atas diri seorang pemimpin golongan muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Wan Ahmad Fayhsal termasuk Khairy Jamaluddin yang lontaran idea-idea mereka dikatakan ‘terlajak dungu’.

Syed Saddiq dengan idea serta cadangan undi 18 tahun yang mendatangkan impak buruk terhadap kestabilan politik. Manakala Wan Faisal dengan ideanya mencetak wang ringgit dengan banyak bagi menangani isu ekonomi.

Sementara Khairy Jamaluddin pula yang menjadi harapan Umno satu ketika dulu telah menunjukkan sikapnya yang terburu-buru serta gelojoh dan berani tidak bertempat untuk melawan arus agenda cita-citanya yang akhirnya beliau tersungkur sebelum tiba masanya.

Konon beliau disebut-sebut pemerhati politik tanah air bahawa bekas Ketua Pemuda Umno itu bakal salah seorang pemimpin masa depan bahkan boleh menjadi calon Perdana Menteri kelak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengkritik Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang paling gagal dalam sejarah negara.

Kini apa sudah jadi dengan mereka pemimpin muda terutamanya nasib Khairy Jamaluddin sendiri yang hari ini beliau menggunakan platform siar pod “keluar sekejap” yang pada hakikatnya dirinya telah ditendang keluar terus keluar rakyat tapi masih mempunyai nafsu yang kuat untuk bercakap dan merespon hal ehwal isu politik semasa.

Timbul pertanyaan lain, adakah dengan cara beliau menampilkan diri terbabit langsung sebagai seorang DJ di saluran radio tempatan akan berupaya mendapatkan pengaruh sokongan kembali di dalam arena politik?

Namun terdapat kenyataan sinis yang merujuk nasib Khairy Jamaluddin tampak sukar untuk bangkit semula.

ANAK MUDA YANG BERWAWASAN

Sewajarnya mereka yang tergolong sebagai pemimpin muda harus memiliki kesedaran tinggi serta mempunyai daya usaha dan berfikiran kritis yang impaknya mampu menyelesaikan permasalahan isu setempat apatahlagi isu yang berkait rapat dengan lanskap politik baharu sekarang ini.

Dun Sungai Bakap akan menerima kehadiran ribuan ‘pelancong politik’ dari seluruh negara selepas SPR bermesyuarat pada 6 Jun ini.

Kendatipun, pemimpin muda yang terlalu teruja untuk tampak bijak dalam melontarkan jargon-jargon kompleks, akan tetapi pada hakikatnya mendapati mereka tidak berupaya untuk menyelesaikan isu atau mendatangkan idea-idea atau cadangan yang bernas tetapi sebaliknya mereka kekeringan dalam mengilhamkan idea baharu apatah lagi untuk menghuraikan permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat negara ini.

Pun begitu, bagi seseorang bergelar pemimpin terutamanya golongan muda yang hendak melakukan sebarang perubahan bukanlah hanya menerusi kata-kata atau janji-janji manis dibibir mulut sahaja akan tetapi juga perlu dibuktikan dengan gerak kerja yang mantap sekali gus dapat memperlihatkan perubahan sama ada dalam jangka masa pendek ataupun dalam jangka panjang yang boleh dinikmati oleh generasi akan datang atau terkemudian.

SIKAP PEMIMPIN MUDA

Sebaik-baiknya pemimpin muda hendaklah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan tidak memandang rendah atau melupai jasa dan pengorbanan mereka orang lama yang pernah turut serta melibatkan diri secara langsung bersama-sama menyumbang dan memajukan pembangunan negara.

Oleh hal demikian, golongan pemimpin muda diingatkan usah secara keterlaluan dalam mempromosi inklusiviti politik hanyalah semata-mata mahu meraih populariti dan pengaruh sahaja.

Pemimpin muda KEADILAN seharusnya mencontohi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baik dari segi disilplin kerja. pengurusan masa, penyampaian ucapan dan banyak lagi jika mahu menjadi pemimpin negara satu ketika nanti. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Apa yang menjadikan isu utama ialah kebanyakan pemimpin politik lama yang memegang status politik cari duit atau cari makan dengan membolot kekayaan malahan mementingkan kroni-kroni sahaja telah mendorong sebilangan anak muda bangkit menentang amalan korupsi.

Lagipun bukankah amalan itu dianggap sebagai suatu kesalahan besar yang dilakukan oleh pemimpin lama atau warlods kerana dilihat lebih mengutamakan duit sahaja tetapi tidak pernah langsung untuk memikirkan atau membela nasib rakyat di bawah.

Sementelahan pula, tidak dinafikan yang golongan muda jarang-jarang hendak diberikan peluang untuk tampil menjadi calon bertanding baik di peringkat parti jauh sekali penyertaan untuk terlibat secara langsung dipilih menjadi calon pilihan raya.

Mujurlah gelombang politik baharu pasca era reformasi menjadi titik tolak kepada perubahan politik baharu yang berani mempertaruhkan golongan muda untuk diangkat menjadi pemimpin lebih awal agar dapat berpeluang menjadi calon bertanding di dalam pilihan raya.

Persoalannya adakah dengan semangat yang meluap-luap yang mendorong penyertaan ramai golongan anak muda untuk terlibat secara langsung dalam arena politik negara seperti yang berani dilakukan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Keadaan ini yang membezakan KEADILAN dengan parti-parti politik lainnya malahan secara terbuka golongan anak muda banyak didedahkan dengan isu-isu politik semasa.

Contohnya membawa isu-isu nasional seperti ekonomi dan kemanusiaan termasuklah isu ketelusan pemerintahan, isu tadbir urus atau tata kelola yang baik (good-governance) atau isu tentang keadilan hak asasi manusia dan isu anti rasuah.

Pendedahan tersebut sebenarnya telah menjadikan satu agenda besar yang diperjuangan oleh anak muda terutamanya di dalam KEADILAN sehingga akhirnya tercapai hasrat dan impian untuk mengangkat Presiden KEADILAN menjadi seorang Perdana Menteri.

KEGHAIRAHAN PEMIMPIN MUDA

Sesiapapun tidak boleh menafikan malah terpaksa akur akan perubahan generasi moden, dan perkembangan sistem demokrasi yang secara tidak langsung telah membuka peluang untuk golongan muda menjadi seorang pemimpin di dalam organisasi parti politik atau ke peringkat yang lebih tinggi.

Ya memang benar kata cerdik pandai yang “kekuatan dan kelangsungan sesebuah negeri dan negara adalah terletak di tangan para pemudanya”.

Namun dek kerana keghairahan golongan muda untuk berjuang demi masa depan negara, mereka secara tanpa sedar rupa-rupanya masih cetek dan terlalu mentah akan hal ilmu politik lebih-lebih lagi mengenai sepak terajang orang politik yang semestinya memerlukan daya mental dan emosi yang kuat.

Hal sedemikian telah terbukti secara nyata di depan mata kita sendiri yang pemimpin muda dipandang terlalu lemah dan cepat goyah emosinya malah sebahagian besar mereka agak sukar untuk dapat bertahan lama bagi meneruskan agenda perjuangan mereka.

Lebih teruk lagi, yang pemimpin orang muda sepatutnya menjadi tonggak terpenting demi masa hadapan negara tetapi ternyata meleset sama sekali bahkan agenda yang dilaung-laungkan sebelum dapat menjadi wakil rakyat atau dilantik sebagai menteri kabinet kerajaan sekadar memuntahkan balik retorik-retorik populis yang serupa hal keadaannya pernah dilontarkan oleh pemimpin lama atau warlods.

TINGGAL ANGAN-ANGAN?

KEADILAN sebagai contoh satu alternatif politik baharu yang memberikan peluang seluas-luasnya kepada golongan muda tetapi yang menjadi tanda tanya juga ke manakah perginya taring mereka sebelum ini atau melontarkan idea-idea atau cadangan yang bernas bukannya separuh masak.

Entah mengapa yakni pemimpin muda sekarang ini telah dilihat jikalau sebelumnya berdegar-degar menjiwai slogan keramat dengan laungan contohnya reformasi atau seumpamanya serta berdemontrasi, berdebat malahan menonjolkan bakat kebolehannya berpetah atau berhujah akan tetapi yang terjadi sekarang ini nyata hampa seolah-olah seperti telah kehilangan arah tuju dan matlamat perjuangannya.

Umum negara kita sememangnya menaruh harapan tinggi dan amat memerlukan generasi pemimpin muda agar dapat membentuk lapisan besar di dalam sebuah masyarakat dan penentu masa depan negara kelak.

Namun agak bernasib malang dan rasa terkilan seperti yang dapat dilihat secara nyata pada hari ini mendapati jauh sekali untuk menggapai impian yang kita harap-harapkan tersebut yang barisan pemimpin muda diyakini lebih menonjol dan kehadapan mengatasi pemimpin lama atau warlods sebaliknya bersikap pasif dan ketandusan idea membina.

Justeru, pada hemat penulis penyertaan pemimpin muda yang hendak mengambil bahagian atau untuk dipilih bertanding dalam satu pilihan raya pada masa akan datang wajar mengambil kira akan faktor umur dan kematangan berpolitik sebelum benar-benar layak mengambil tempat daripada pemimpin lama.

Apatahlagi sekiranya mereka ini pemimpin muda mahu dilibatkan secara langsung di dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat atau kerajaan persekutuan seandainya parti yang disertai dapat membentuk sebuah kerajaan.

Sekian,

Pemerhati bebas politik

– Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagramj
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *