PRK KKB: Tindakan Muda-PSM Tak Tanding Bukti Telah Ditolak Rakyat – Andre Lai

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai sifatkan tindakan Muda dan PSM tidak bertanding PRK Kuala Kubu Bharu membuktikan kedua-dua parti sudah ditolak rakyat.

KUALA LUMPUR, 26 Apr – Seperti dijangka, dua parti pembangkang iaitu Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu membuktikan kedua-dua parti sudah ditolak rakyat.

Setelah kesemua 19 calon kalah malah hilang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, ia sudah cukup membuktikan mereka tidak lagi mendapat tempat dalam politik arus perdana, ulas Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai dalam reaksi spontannya hari ini.

”Sejujurnya sama ada Muda atau PSM malah Pejuang juga gagal membuktikan kelainan atau kekuatan politik nilai menyebabkan rakyat tidak lagi melihat mereka sebagai ‘kuasa ketiga’ yang boleh diharap.

”Lebih memalukan apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai presiden Muda hanya setelah mahkamah mendapati dia bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada),” katanya.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai sifatkan tindakan Muda dan PSM tidak bertanding PRK Kuala Kubu Bharu membuktikan kedua-dua parti sudah ditolak rakyat.

Beliau turut menempelak kenyataan Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, kononnya ketetapan berkenaan dibuat selepas kedua-dua parti bekerjasama itu mempertimbangkan pelbagai aspek.

“Sekiranya keputusan itu diambil kononnya membolehkan pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu melaksanakan hak mengundi dan mengemukakan ‘referendum kuat’ terhadap prestasi Kerajaan MADANI, mengapa Amira enggan mengakui selain Kerajaan Perpaduan stabil, Muda sendiri sudah tidak mampu berperanan menjadi ‘semak dan imbang’ setelah gagal menjawab mengapa Syed Saddiq berundur?,” soalnya.

Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju mengingatkan Amira agar tidak menjadi ‘ejen Perikatan Nasional (PN)’ biarpun tidak mengambil bahagian dalam PRK kali ini atau cuba menjadi seolah-olah ‘pengadil’ tidak bergaji kerana mereka sudah tidak mempunyai kredibiliti.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada PRN Selangor yang lalu, mendiang menewaskan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Dr Siva Prakash (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia), dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon, esok, diikuti hari pengundian pada 11 Mei depan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *