PM Anwar Pulangkan Elaun Pengerusi Khazanah, Tegaskan Sekali Lagi Tidak Terima Gaji

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penyampaian Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED), di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA, 26 AprDatuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau memulangkan semula elaun diterimanya sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan sekali-kali mengambil elaun berkenaan, seiring pendiriannya hingga kini untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Tadi, saya mempengerusikan mesyuarat Khazanah, rupa-rupanya Pengerusi Khazanah ini… selama ini, Perdana Menteri semua ada elaun (selaku Pengerusi Khazanah)… saya tidak tahu.

“Selepas beberapa bulan, masuk akaun bank, elaun mesyuarat tetapi saya beritahu saya tidak mahu… jadi saya terpaksa pulangkan balik elaun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penyampaian Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED), di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, beliau juga telah memaklumkan pada mesyuarat itu supaya Khazanah tidak membayar elaunnya, kerana enggan mengambil gaji Perdana Menteri selagi ekonomi negara tidak terangkat dan nasib rakyat tidak terbela.

“Bagi saya, ini bukan kenyataan politik. Saya bekerja dengan semangat dan keyakinan.

“Saya lalui cara hidup yang sangat susah dan derita… mengajar saya apabila ada kuasa, cuba sebaik mungkin untuk membantu memperbaiki nasib rakyat.

“Sebab itu saya kata, saya bukan daripada keluarga kaya dan saya tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri. Kemudian ada orang kata tidak ambil gaji Perdana Menteri tetapi ambil gaji sebagai Menteri Kewangan… itu tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Anwar menegaskan, beliau tidak akan mendiskriminasi berdasarkan warna kulit, dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan miskin tegar.

“Saya sudah cakap dan menjadi sasaran kita sejak tahun lalu untuk menghapuskan miskin tegar. Sudah tentu berdasarkan angka, Melayu adalah majoriti tetapi berdasarkan ratio populasi, masyarakat India adalah antara yang paling miskin

“Alhamdulillah, semua di Kuala Lumpur… Melayu, India dan Cina lepas (sudah terkeluar) daripada kategori miskin tegar. Sekarang, kita capai untuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak serta Johor, dan sedang usahakan untuk negeri-negeri lain,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *