Presiden Perancis Diberi Tepukan Gemuruh Iktriaf Palestin Negara Berdaulat

Presiden Perancis Emmanuel Macron berucap di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York City, Amerika Syarikat pada 22 September 2025. Foto Reuters

NEW YORK, 23 Sep – Presiden Perancis Emmanuel Macron secara rasmi mengiktiraf negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, sekali gus mencetuskan gelombang tindakan oleh negara Barat yang mencabar Israel dengan langkah bersejarah — meskipun bersifat simbolik.

Macron, ketika berucap pada sidang kemuncak yang tidak dihadiri Israel dan sekutunya Amerika Syarikat, menggesa supaya perang di Gaza ditamatkan.

“Sudah tiba masanya untuk keamanan, kerana kita hanya tinggal sedikit masa sebelum ia benar-benar terlepas,” kata Macron dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.

Presiden Perancis Emmanuel Macron hadir di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York City, Amerika Syarikat pada 22 September 2025. Foto Reuters

“Sudah tiba masanya untuk membebaskan 48 tebusan yang ditahan Hamas. Sudah tiba masanya untuk menghentikan perang, pengeboman di Gaza, pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran.”

Namun Macron menegaskan Perancis tidak akan membuka kedutaan di negara Palestin sehingga gencatan senjata dimeterai di Gaza dan semua tebusan dibebaskan.

Tepukan gemuruh kepada Macron

Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan keputusan Perancis itu sebagai “bersejarah dan berani,” malah delegasinya memberikan tepukan gemuruh berdiri kepada Macron.

Australia, Britain, Kanada dan Portugal turut mengiktiraf negara Palestin, menambah tekanan ke atas Israel ketika ia menggandakan serangan di Gaza.

Monaco, Belgium, Andorra, Malta dan Luxembourg kemudiannya membuat pengiktirafan dari podium Perhimpunan Agung, menjadikan jumlah keseluruhan kini merangkumi tiga perempat daripada keanggotaan PBB.

Sepanyol, Ireland dan Norway telah mengiktiraf negara Palestin pada Mei lalu, manakala Sweden berbuat demikian pada 2014.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa negara-negara PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar tidak akan membenarkan penubuhan negara Palestin, manakala anggota kabinet sayap kanannya mengancam untuk mengilhak Tebing Barat bagi menghalang kewujudannya.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon berkata Israel “akan bertindak.”

“Mereka bukan mempromosikan keamanan. Mereka menyokong keganasan,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula berpendapat pengiktirafan itu “hanyalah ganjaran kepada Hamas,” menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt.

Trump dilihat ‘koyak’ apabila menyindir pengiktirafan beberapa negara sekutu kepada Palestin sebagai ‘kemenangan moral kepada Hamas’. Foto The White House

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, memberitahu AFP sebelum sidang itu: “Kita tidak seharusnya gentar dengan risiko tindakan balas.”

Pihak Berkuasa Palestin desak Hamas

Perang tercetus apabila Hamas menyerang Israel dari Gaza pada 7 Oktober 2023, yang membawa kepada serangan balas berterusan Israel.

Negara Palestin yang merdeka akan berpusat di bawah Pihak Berkuasa Palestin, yang hanya mempunyai kawalan terhad di Tebing Barat, dan merupakan pesaing kepada Hamas yang berpangkalan di Gaza.

Orang ramai cuba mendapatkan beras daripada dapur amal yang menyediakan makanan di barat Kota Gaza pada 24 Ogos 2025. Foto AFP

Israel pula berusaha mengecilkan perbezaan antara kedua-duanya, manakala Washington, dalam langkah luar biasa, enggan membenarkan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas hadir secara fizikal.

Pemimpin Palestin berusia 89 tahun itu dipaksa berucap secara maya, sambil menggesa Hamas menyerahkan senjata mereka kepada Pihak Berkuasa Palestin.

“Kami juga mengecam pembunuhan dan penahanan orang awam, termasuk tindakan Hamas pada 7 Oktober 2023,” katanya.

Perancis turut menjadi tuan rumah bersama sidang kemuncak itu dengan Arab Saudi, yang sebelum ini mempertimbangkan normalisasi hubungan dengan Israel, satu matlamat utama Netanyahu.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, memberitahu sidang itu yang berakhir lewat Isnin bahawa semua negara seharusnya mengikut jejak langkah mengiktiraf negara Palestin.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *