PM Anwar Berlepas Ke Timor-Leste Atas Jemputan PM Xanana Gusmão

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Timor-Leste bagi memulakan lawatan rasmi dua hari atas jemputan Perdana Menteri Xanana Gusmão pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 23 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Republik Demokratik Timor-Leste bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan delegasi negara berlepas pagi ini menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato, Dili yang dijadualkan tiba sekitar jam 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).
“Lawatan rasmi ini penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.

“Moga segala perancangan dan agenda yang diatur dipermudahkan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujar Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar memainkan peranan penting dalam mengangkat aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN yang dijadualkan pada Oktober tahun ini di Kuala Lumpur.
Lawatan bersejarah ini merupakan kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan negara itu menjadi anggota ke-11 ASEAN.
Anwar dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato dan akan disambut oleh Presiden Dr José Ramos-Horta serta Perdana Menteri Gusmão.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dalam sidang media semalam berkata bahawa agenda rasmi Anwar akan dimulakan dengan istiadat sambutan negara di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Presiden Ramos-Horta.

Pada sebelah malam, Anwar akan menghadiri jamuan rasmi yang dianjurkan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste di Lahane Palace.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
